Buletin

BOS FERRARI SINDIR LAMBORGHINI – FERRARI LEBIH EKSKLUSIF, LEBIH SUSAH DIBELI

Persengketaan antara Ferrari dan Lamborghini memang tidak pernah reda. Mereka bukan hanya bersaing menghasilkan supercar terbaik tetapi juga berperang mulut dalam merendahkan pesaing masing-masing. Nasib baik dua-dua dah dewasa, kalau masih budak-budak mau rasanya Abang Japar bagi je penampar sedas dua.

Kali ini perang dingin antara keduanya dipanaskan dengan kenyataan sindiran Ketua Eksekutif Ferrari, Sergio Marchionne di Geneva Motor Show yang mengatakan ramai pembeli Lamborghini memilih jenama tersebut kerana ia mudah diperolehi berbanding model Ferrari yang lebih eksklusif. Abang Japar dengar pun dah rasa panas, padahal nak beli tayar Huracan pun beli mampu lagi.

Kenyataan beliau itu juga seolah menyindir CEO Lamborghini, Stefano Domenicali yang pernah dipecat Marchionne dari jawatan Ketua Pasukan F1 Ferrari pada tahun 2014. Ia gara-gara prestasi buruk pasukan F1 Ferrari ketika itu.

Marchionne mengatakan yang beliau sangat menghormati Stefano Domenicali tetapi ramai pembeli memilih Lamborghini kerana mereka tidak dapat memiliki Ferrari. Ucap bos Ferrari itu sewaktu hadir di Geneva Motor Show baru-baru ini.

Pengganti kepada Luca di Montezemolo itu merujuk kepada syarat-syarat ketat yang harus dipenuhi sebelum para pelanggan model membeli model-model edisi khas seperti LaFerrari ataupun Ferrari Enzo sebelum ini. Dengan kata lain, Ferrari akan memilih pelanggan yang layak memiliki kereta keluaran mereka.

BACA: LELAKI INI SAMAN FERRARI, DAKWA TIPU ODOMETER

Model lain yang perlu memenuhi piawaian yang ketat sebelum boleh membelinya ialah Ferrari FXX. Sebuah lagi model yang lagi mengarut bagi kami kerana selepas beli pun tidak boleh dibawa pulang ke rumah. Ia merupakan sebahagian daripada program pembangunan Ferrari.

Pelanggan terpilih perlu membayar sejumlah 2 juta pound sterling untuk kereta yang tidak boleh dipandu dan disimpan di rumah. Mereka cuma boleh memandunya di litar-litar yang dibenarkan Ferrari sahaja.

Antara syarat paling menarik ialah anda mesti membuktikan anda memang peminat Ferrari sejati, contohnya dengan memiliki sejumlah koleksi model terdahulu Ferrari.

Namun bagi kami persengketaan ini bukannya sesuatu yang pelik kerana ia sudah lama berlaku. Kalau diambil kira faktor sejarah, persengketaan antara dua pengasas jenama terkenal Itali inilah yang membawa kepada munculnya Lamborghini.

Mengimbas kembali sejarah keduanya, pengasas Ferrari, Enzo Ferrari telah mula dikenali sebagai pembuat kereta sports terkemuka ketika itu. Pengasas Lamborghini, Ferrucio Lamborghini pula ialah seorang usahawan muda yang mengumpul kekayaan dengan menghasil dan memasarkan traktor dengan nama beliau sendiri.

Seperti kebanyakan usahawan berjaya lain, beliau turut mempunyai koleksi kereta Ferrari selain kereta-kereta terkenal lain. Bagaimanapun beliau tidak berpuas hati dengan beberapa masalah yang sering menimpa masalah Ferrari beliau. Ferrucio mempunyai beberapa cadangan untuk menambahbaik Ferrari beliau dan berjumpa dengan Enzo Ferrari untuk memberikan pandangan beliau tetapi Enzo telah menolak mentah-mentah cadangan dan pandangan usahawan muda itu.

Keangkuhan Enzo telah memberikan satu keazaman baru kepada Ferrucio untuk menghasilkan kereta yang mampu menyaingi Ferrari suatu hari nanti. Dari situlah bermulanya sejarah penghasilan kereta-kereta hebat menggunakan jenama Lamborghini dengan berlogokan seekor lembu laga.

Terbaru, Lamborghini membuktikan kehebatan mereka dengan catatan masa kereta produksi terlaju dengan menggunakan Huracan model terbaharu. Mana boleh main pakai mulut sahajakan? Dan anda tidak perlu memenuhi syarat pelik-pelik untuk memiliki Lambo.

Bawak sahaja tiga tan duit simpanan anda seumur hidup ke ruang pameran Lamborghini dan kalau masih tak cukup, ingat yang anda masih ada dua lagi buah pinggang dan manusia boleh hidup dengan satu buah pinggang sahaja. Lelongan awam mungkin boleh membantu.

BACA: POLIS SERBU BENGKEL BUAT FERRAI DAN LAMBO TIPU

Google ads
Back to top button