Buletin

PORSCHE CAYENNE BAHARU JADI EV, TIADA ICE, CAYENNE GEN 3 TERUS DITAWARKAN

Selepas Macan hadir tanpa pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE), Porsche sekali lagi membuat keputusan berani apabila Cayenne generasi keempat dijadikan kenderaan elektrik (EV).

Cayenne baharu akan diperkenal pada 2025 sebagai model tahun 2026 (MY). Model prototaip sudah pun berada di atas jalan raya untuk pengujian dan dari gambar masih kekal seperti Cayenne yang dikenali.

Jarang Porsche tampil dengan reka bentuk revolusi dan jangkakan idea atau perincian yang membuatkan Cayenne baharu nampak kontemporari.

Porsche Cayenne Turbo E-Hybrid 2024

Sejak dikeluarkan pada 2002, Cayenne hadir unik kerana mewakili segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk Porsche yang sinonim dengan kereta sport.

Legasi tersebut tidak menjadi masalah dan diterima baik pengguna. Bukan setakat segmen baharu, Cayenne juga berkeupayaan untuk off-road. Penawaran SUV Porsche diteruskan lagi dengan Macan.

Selain pengumuman model baharu, Porsche juga memaklumkan Cayenne generasi ketiga akan terus dinaik taraf dan menariknya ditawarkan bersama Cayenne elektrik.

Maknanya, kitaran hayat Cayenne yang diperkenal pada 2017 terus bersambung. Walaupun berani, Porsche juga perlu bersikap realistik kerana Cayenne merupakan produk paling laris syarikat pada 2023.

Cayenne baru sahaja dinaik taraf pada 2023 dan di antara penambahbaikan produk paling besar do dalam sejarah Porsche.

Untuk naik taraf baharu, di antara tumpuan Porsche ialah penambaikan kecekapan enjin V8 dan pematuhan pada undang-undang masa depan.

Berkenaan Cayenne EV, Porsche menggunakan Pelantar Premium Elektrik (PPE) dengan seni bina 800 volt. PPE juga diguna pada Macan baharu.

Selain tingkah laku pemanduan sebuah Porsche, pembangunan Cayenne EV turut menyasarkan pengecasan kapasiti tinggi dan stabil, kecekapan tinggi, keselesaan serta kebolehgunaan harian.

Menjelang pelancaran pada 2025, model prototaip Cayenne EV dijangka selesai menjalani jutaan kilometer pengujian di serata dunia.

Seperti sebelum ini, Cayenne bukan sahaja perlu tampil gah di jalan raya tetapi juga berkeupayaan di laluan off-road.

Untuk makluman, Cayenne 2024 telah dilancar pada Oktober 2023 dan satu yang menarik buat rakyat tempatan kerana dipasang di Kulim, Kedah.

Google ads
Back to top button