
MITSUBISHI HEAVY INDUSTRIES PUTUS ASA DENGAN PROJEK SPACEJET – RUGI DAN GAGAL TOTAL!
Mitsubishi Heavy Industries memutuskan untuk mengundurkan diri daripada perniagaan kapal jet domestik, Mitsubishi SpaceJet. Keputusan untuk mengkomersialkan SpaceJet telah dibuat pada tahun 2008.
Dalam perkembangan berkaitan, Mitsubishi Heavy juga akan membubarkan anak syarikat berkaitan perniagaan ini iaitu Mitsubishi Aircraft.
Menurut Presidennya, Seiji Izumisawa projek tersebut telah membelanjakan sejumlah AS$7.58 bilion (RM7.5 bilion) dan sempat membekukan seketika pembangunan Mitsubishi SpaceJet pada 2020 gara-gara pandemik COVID-19.

Walaupun pasaran penerbangan semakin pulih daripada kesan pandemik COVID-19, syarikat itu tetap tidak dapat memenuhi permintaan untuk jet kecil berkapasiti kurang 100 tempat duduk.
Pembangunan pesawat Mitsubishi Regional Jet dilihat sebagai projek besar yang diterajui oleh sebuah syarikat swasta bertujuan untuk memupuk industri pesawat Jepun. Ia juga merupakan pesawat penumpang pertama yang dihasilkan dalam negara sejak YS-11.
Syarikat itu sepatutnya melakukan penghantaran pertama pada 2013 kepada All Nippon Airways Jepun. Namun, penghantaran telah ditangguhkan sebanyak enam kali kerana masalah keupayaan teknikal.
Sebelum ini, Mitsubishi Aircraft pernah mempunyai kira-kira 1,000 kakitangan termasuk jurutera dari luar negara, tetapi jumlah pekerja berkurangan dan dilaporkan kini hanya ada 100 orang pekerja.
Mitsubishi Aircraft juga menutup pangkalannya di Amerika Syarikat di mana ia sempat menjalankan ujian penerbangan pada Mac 2022.
Lebih malang lagi, bajet pembangunan pada 2021 hingga 2023 telah dikurangkan kepada AS$152 juta (RM655 juta), berbeza dengan tiga tahun sebelumnya dengan AS$2.8 bilion (RM12 bilion) dilaburkan untuk projek tersebut.








