Motosikal

SKUTER KAYANGAN ITALJET DRAGSTER KINI DI MALAYSIA. 2 VARIAN, BREK BREMBO, TOP SPEED 108KM/J, ANGGARAN BERMULA RM30K!

CHEAR Global hari ini memperkenalkan skuter berprestasi tinggi iaitu Italjet Dragster ke pasaran tempatan dalam satu sesi media preview di Glenmarie, Shah Alam. 

Jentera yang sangat sporty itu didatangkan dalam dua varian iaitu 125 dan 200. Harganya pula adalah sekitar RM30,000 (125) dan RM35,000 bagi varian 200. 

Mahal? Ya, memang mahal kerana ia didatangkan dalam bentuk CBU dari Itali dan dilengkapi pelbagai komponen premium. 

Seperti yang boleh anda lihat, rekaan Dragster memang sporty dengan penggunaan kerangka trellis aloi. Aspek pengendalian yang mantap pula disumbangkan oleh sistem stereng bebas (ISS) untuk roda hadapan dan penyerap hentak hidraulik tunggal di belakang. 

Dragster dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang DOHC berkuasa 12.3hp dan tork 10.5Nm untuk varian 155. kuasa enjin itu melonjak kepada 17.5hp dan tork 15.5Nm untuk varian 200cc. 

Kuasa dari enjin dengan sistem penyejukan cecair dan mematuhi piawaian emisi Euro5 itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear CVT automatik. 

Dengan berat hanya 140kg (kering), bayangkan prestasi yang boleh ia tawarkan kepada anda. Namun, agak mengecewakan kerana top speed adalah sekitar 96km/j (155) dan 108km/j untuk varian 200.  

Aspek keselamatan dipertingkat menerusi penggunaan sistem brek Brembo dengan cakera bersaiz 200mm (depan) dan 190mm di belakang. Roda pula bersaiz 12 inci di depan dan 13 di belakang yang dibalut dengan tayar Pirelli tanpa tiub 120/70 dan 140/60. 

Susuai untuk mereka yang berketinggian sederhana, tinggi pelana Dragster cuma 770mm dan ia dilengkapi tangki minyak berkapasiti 9 liter.

Instrumen meter adalah  jenis digital bersaiz kecil dengan dua butang untuk mengubah paparan maklumat skrin.

Penampilan premium Dragster diserlahkan lagi dengan penggunaan lampu LED untuk lampu utama, lampu belakang dan lampu isyarat membelok jenis sequential. 

Bagi mereka yang ingin membuatkan Dragster lebih menyerlah, ada beberapa aksesori. Antaranya ialah ekzos slip on Akrapovic, penyerap hentak hadapan dan belakang monoshock Ohlins, cover bawah pelana karbon, mudguard hadapan dan belakang karbon, grid hadapan karbon, racing stand, klac dan CVT kit (200cc) serta kit brek perlumbaan Brembo. 

Jentera ini akan dilancarkan secara rasmi pada 8 Oktober (Sabtu). Ia ditawarkan dalam pilihan warna kuning, merah-putih dan hitam-kelabu. 

GALERI

Google ads
Back to top button