PRO-NET DAN EV CONNECTION LANCAR PROGRAM INFRASTRUKTUR EV DI KONDOMINIUM
PRO-NET, anak syarikat tenaga baharu PROTON, bersama EV Connection (EVC), pengendali rangkaian pengecasan JomCharge, telah melancarkan program baharu, “PRONET-EVC Condominium EV Charging Infrastructure Programme”.
Menurutnya, program ini bertujuan memperluas akses pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kediaman bertingkat tinggi.
100 Kondominium Akan Terima Pengecas EV Secara Percuma
Melalui program ini, EVC akan memperuntukkan dana untuk pemasangan pengecas EV di 100 kondominium yang belum mempunyai kemudahan tersebut.
Selain itu, usaha sama ini akan memastikan kadar pengecasan kompetitif di 70 kondominium lain yang sudah berada dalam rangkaian JomCharge.
Program ini juga menyokong matlamat kerajaan untuk mencapai 10,000 titik pengecasan menjelang 2025, sejajar dengan usaha memperkukuhkan infrastruktur EV di Malaysia.
Kemudahan dan Kadar Pengecasan Kompetitif
Kondominium yang berminat untuk memasang pengecas EV boleh mengemukakan permohonan melalui laman web EVC. Pakej percuma yang ditawarkan merangkumi:
- Pengecas EV
- Kerja infrastruktur
- Kos pematuhan
- Sistem pengurusan pengecas
- Porting ke rangkaian JomCharge.
Tambahan pula, kondominium yang berjaya akan menikmati mekanisme perkongsian keuntungan melalui program ini.
Kadar pengecasan untuk kondominium baru ini ditetapkan pada RM 0.70/kWh, jauh lebih rendah daripada harga pasaran biasa sekitar RM 1.00/kWh.
Pemilik model smart dan e.Mas 7 akan mendapat 10 peratus diskaun tambahan bermula Januari 2025, menjadikan kadar pengecasan serendah RM 0.63/kWh — hampir setara dengan tarif TNB untuk pemilik rumah bertanah.
Langkah ini signifikan memandangkan sekitar 70 peratus penduduk Lembah Klang tinggal di bangunan bertingkat tinggi.
Dengan akses pengecasan EV yang lebih mudah dan murah, inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada penerimaan EV dalam kalangan penduduk bandar.
- BACA: CASIO X SELANGOR FC: LANCAR JAM TANGAN EDISI KHAS TERHAD ‘LAMBANG KEBANGGAAN’
- BACA: PORSCHE MACAN EV RASMI DILANCARKAN: EMPAT VARIAN, JARAK GERAK 641KM, HARGA BERMULA RM430K
- BACA: KRISIS KEWANGAN KTM DIDAKWA CECAH RM14 BILION
- BACA: BENTLEY BENTAYGA EWB AZURE – EMPAT MODEL BERKHIDMAT UNTUK THE PENINSULA HONG KONG