Buletin

PROTON 3S PANTAI BARU KINI DI KAPAR KLANG

Baru sahaja melancarkan cawangan 4S yang pertama pada bulan lepas, PROTON mengumumkan pembukaan rasmi cawangan 3S baharu, Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd (“Pantai Bharu”).
 

Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON telah merasmikan majlis tersebut yang turut disertai oleh Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar dan barisan pengurusan kanan PROTON.
 
Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd beroperasi secara rasmi sebagai cawangan 3S bagi menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik
Sebelum ini, cawangan tersebut beroperasi sebagai pusat 1S dan 2S di dua premis yang berasingan. Namun, untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan selaras dengan standard keperluan yang ditetapkan oleh PROTON, pihak pengurusan Pantai Bharu membuat keputusan untuk melabur dan mengembangkan perniagaannya kepada cawangan 3S dan mengendalikannya di bawah bangunan baharu yang dibina di Jalan Kapar, Klang.
 
Dato’ Shamshudin Nor, pemilik dan pemegang saham yang telah menjalankan perniagaan selama 32 tahun lalu percaya bahawa, “Untuk berjaya, kita perlu bergerak seiring dengan perubahan masa dan kekal relevan. Keadaan pasaran sentiasa berubah. Apa yang laku pada hari ini, mungkin tidak akan laku hari esok.
 
Justeru, tujuan berpindah ke kawasan baharu adalah untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Kawasan yang baharu ini akan menyediakan kemudahan sebagai pusat sehenti bagi jualan, servis dan alat ganti kepada pelanggan”.
 
“Cawangan baharu ini dilengkapi 12 petak penyelenggaraan, 8 servis pengangkat, ruangan yang mampu menempatkan sebanyak 35 tempat duduk pelanggan, 3 ruang penyerahan kereta dan 70 petak tempat letak kereta pelanggan. Di samping itu, kami juga menyediakan ruangan bagi kanak-kanak untuk bermain, ruangan minuman dan untuk mengecas telefon/komputer riba bagi pelanggan bersantai dan berehat, serta WIFI percuma untuk memastikan pelanggan sentiasa berhubung,” kongsi Dato’ Shamshudin.
 
Mengalu-alukan persaingan, yakin dengan pertumbuhan jualan dan servis Terletak di sekitar kawasan yang turut menjual kereta jenama lain di Jalan Kapar, pemilik veteran itu tidak gentar akan persaingan, malah mengalu-alukannya. Lokasi yang terletak di kawasan komersil yang sibuk sebenarnya akan menjadi tumpuan kepada pengguna untuk membeli dengan mudah, kerana mereka dapat melihat dari satu bilik pameran ke bilik pameran yang lain bagi mendapatkan tawaran-tawaran terbaik.
 
Beliau turut menambah, “Kami yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan ke bilik pameran kami dengan penampilan yang baharu dan segar ini, pencahayaan yang lebih terang dan suasana dalaman dan luaran yang lebih harmoni. Ini sekaligus akan mendorong kepada tahap jualan dan perkhidmatan yang meningkat. Kami menjangkakan peningkatan 100% dalam jualan dan servis pada permulaan penambahbaikan ini”.
Google ads
Back to top button