Buletin

PROTON BUKA PUSAT 3S BAHARU DI KUANTAN – LIBATKAN PELABURAN RM2.3 JUTA

Pesat Auto CTM Sdn. Bhd. (Pesat Auto) telah membuka pusat 3S PROTON secara rasmi di Kuantan, Pahang. Ini merupakan pusat 3S ketiga yang dibuka di sana dan mempamerkan identiti korporat baharu PROTON.

Dilengkapi 6 ruang servis, 4 kemudahan pengangkat dan bangunan seluas 750 meter persegi, cawangan ini melibatkan pelaburan sebanyak RM2.3 juta.

Pesat Auto yakin pusat 3S itu mampu meningkatkan jualan sekitar 30 peratus dan servis sebanyak 40 peratus.

“Demi memastikan pelanggan sentiasa berhubung dan kekal bersama kami untuk jangka masa panjang, kami perlu terus berkembang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Pusat sehenti ini akan menjadi platform yang membolehkan kami memenuhi permintaan pelanggan dan mengembangkan lagi pasaran pelanggan,” kata Tee Keh Hock, Pengarah Pesat Auto CTM.

PROTON mahu pelanggan merasai pengalaman yang sama di semua cawangannya di seluruh negara.

Sepanjang Ogos, PROTON dilihat dapat mengekalkan momentum jualan dengan 9,127 unit berjaya dijual. Ia juga mencatat pertumbuhan sebanyak 36 peratus dari tahun ke tahun.

Wilayah Pantai Timur mencatat jualan yang baik dengan pertumbuhan sebanyak lapan peratus. Model seperti Saga dan Persona terus menjadi pilihan pembeli, manakala X70 pula menyumbang sebanyak 30% daripada jualan di negeri itu.

Sehingga kini, PROTON mempunyai 102 cawangan 3S & 4S beroperasi di seluruh negara.

Google ads
Back to top button