Buletin

LYNK & CO 03 TCR DIBUKA UNTUK TEMPAHAN, 350 HP 420 NM!

Jika Volvo Cars mempunyai Cyan Racing dalam mengendalikan program permotoran, Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) pula diwakili oleh Geely Group Motorsport.

Geely Group Motorsport ini baru ditubuhkan pada 2018 dengan ibu pejabat di Hangzhou, China dan Gothenburg, Sweden.

Kini divisyen itu sudah bersedia untuk menjual produk baharu Lynk & Co 03 TCR dengan penghantaran bermula suku pertama 2020. Lynk & Co adalah jenama di bawah ZGH dan munasabah untuk ia dijual oleh Geely Group Motorsport.

Sebelum dijual kepada pasukan lumba, Cyan Racing Lynk & Co menggunakan Lynk & Co 03 di dalam perlumbaan Piala Dunia Kereta Penumpang (WTCR) FIA 2019 dan sedang mendahului kategori pengeluar.

Kereta pertama akan diserahkan kepada pelanggan di China yang merupakan pasaran utama kenderaan jalanan Lynk & Co.

Pembangunan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR bermula pada pertengahan 2018 oleh Geely Group Motorsport dan digunakan untuk WTCR 2019.

Kereta lumba ini menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 350 hp dengan daya kilas 420 Nm. Ia dipacu oleh roda hadapan dan dilengkapi kotak gear sequential enam kelajuan.

Bahagian dalam dilengkapi rangka keselamatan yang diluluskan FIA, kerusi lumba dan tali pinggang enam poin dan boleh dipadankan dengan HANS. Lazim untuk kereta lumba ialah sistem pemadam api dan minyak diisi di dalam tangki keselamatan FIA.

Tugas menghentikan kereta ialah set brek depan dengan enam omboh dan cakera berukuran 380 mm. Bahagian belakang menggunakan angkup dua omboh dan cakera 278 mm. Saiz rim ialah 10”x18”.

Berat kereta termasuk pelumba adalah 1265 kilogram seperti yang ditetapkan oleh peraturan WTCR.

Perlumbaan TCR dianjurkan di serata dunia dan boleh dikatakan paling hampir dengan kereta jalanan. Di antara model yang digunakan untuk perlumbaan TCR ialah Honda Civic Type R, Hyundai i30 N, Volkswagen Golf GTI dan pelbagai lagi.

Selain kereta lumba TCR, Lynk & Co sedang membangunkan versi jalanan model 03 dan versi konsep baru-baru ini berjaya memecahkan dua rekod pusingan Nürburgring kereta empat pintu terpantas dan kereta pacuan pacuan depan (FWD) terpantas.

Catatan masa yang dibuat dengan kereta berkuasa 528 hp tersebut ialah 7 minit dan 20,143 saat dengan kelajuan purata 170.4 km/j.

BACA: LYNK & CO, SYARIKAT BAHARU DENGAN JUALAN PALING PESAT DI DUNIA

BACA: LYNK & CO 03 CATAT REKOD DI NÜRBURGRING (HELLO MEGANE DAN TYPE R)

BACA: SUV COUPE GEELY XINGYUE – MODEL PALING BERKUASA GEELY, SIAP ADA CIRI FACE ID

Google ads
Back to top button