Buletin

PROTON CATAT JUALAN 86,379 UNIT DALAM TEMPOH 10 BULAN PERTAMA 2021, NAIK 1.6%

Selepas berjaya mencatat kenaikan jualan sebanyak 28.7 peratus pada Oktober berbanding bulan sebelumnya,  PROTON kini melepasi jualan dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu.

Dengan jualan sebanyak 13,362 unit, jualan terkumpul setakat ini ialah 86,379 unit, naik sebanyak 1.6 peratus berbanding jualan sepuluh bulan pertama tahun 2020 (84,999 unit).

Ini bermakna Proton telah melangkaui prestasi Jumlah Jualan Industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan yang menurun sekitar 4.7 peratus, walaupun jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada bulan Oktober untuk tahun 2021. 

Unjuran pegangan pasaran bagi bulan tersebut adalah sebanyak 20.5 peratus, sementara pegangan pasaran bagi tempoh yang sama berbanding tahun lepas adalah 22.7 peratus.

Proton Saga terus menerajui pencapaian jualan bagi PROTON dengan 5,107 unit dijual pada Oktober, menandakan telah tiga kali model tersebut melepasi jualan melebihi 5,000 unit tahun ini. Saga juga kekal sebagai peneraju jualan bagi sedan segmen-A.

Dua lagi penyumbang kepada jualan syarikat ialah Proton X50 dan Proton X70. SUV segmen-B Proton X50 beroleh kejayaan terbaik bulan lalu dengan jualan sebanyak 3,839 unit. Proton X70 pula mengekalkan momentum dengan jualan sebanyak 2,165 pada bulan Oktober, angka terbaik sejak bulan Mac tahun ini. 

Dengan hanya berbaki dua bulan tahun 2021, X50 dan X70 berada di kedudukan selesa sebagai model jualan terbaik bagi segmen masing-masing.

Proton Exora terus mendahului pasaran MPV segmen-C dengan jualan sebanyak 359 unit. Iriz dan Persona 2022 yang terkesan teruk akibat masalah  bekalan cip mencatat jualan 1,393 unit (Persona) dan 497 unit Iriz pada Oktober. 

“Permintaan pasaran dijangka kekal kukuh menjelang akhir tahun, jadi kami akan berusaha untuk memastikan tahun 2021 ditutup dengan kejayaan besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Google ads
"
"
Back to top button