
PROTON EDAR BUBUR LAMBUK KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN SEMPENA RAMADAN
PROTON mengedarkan 3,000 pek bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada polis, petugas perubatan dan bomba serta para pekerja PROTON di Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor.
Inisiatif berkenaan merupakan hasil kerjasama Kelab Media Prima dan Kelab PROTON yang memasak dan membungkus masakan tersebut di ibu pejabat PROTON, Shah Alam sebelum diagihkan keluar di beberapa lokasi terpilih.
Memasak dan mengedarkan bubur lambuk pada bulan Ramadan merupakan aktiviti tahunan PROTON dan pekerjanya, tetapi ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat Covid-19.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON, Roslan Abdullah berkata peluang menghidupkan semula tradisi itu muncul apabila Malaysia melangkah ke peringkat endemik pada 1 April.
“Sudah menjadi tradisi tahunan bagi kakitangan PROTON untuk memasak dan berkongsi hidangan ini dengan rakan sekerja mereka.
“Selepas dua tahun terpaksa melupakan tradisi ini, kami membuat keputusan untuk meluaskan jaringan perkongsian kami dengan mengedarkan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan dalam masyarakat tempatan di kawasan Shah Alam dan Subang Jaya sebagai tanda penghargaan kami kepada sumbangan mereka,” katanya.

Beliau berkata tahun ini, rakyat Malaysia juga berpeluang pulang menyambut Syawal di kampung halaman.
Roslan memberitahu PROTON ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan memastikan kenderaan mereka diselenggara terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Kami menggalakkan semua pemilik kenderaan Proton untuk membuat temu janji dengan pusat servis sebelum memulakan perjalanan cuti hari raya mereka sekiranya kenderaan mereka perlu diservis.
“Dengan peningkatan stok untuk 22 jenis alat ganti yang bergerak pantas di pusat 3S/4S kami, PROTON bersedia untuk membantu memastikan perjalanan yang selamat ke kampung halaman pelanggan kami,” katanya.
- BACA: BANK MUAMALAT TAWAR SKIM PEMBIAYAAN KENDERAAN BERPERINGKAT. EKSKLUSIF UNTUK KERETA PROTON DAN MITSUBISHI EDARAN EON SAHAJA
- BACA: DRB-HICOM LABUR RM32 BILION BANGUNKAN AUTOMOTIVE HIGH-TECHNOLOGY VALLEY DI PROTON CITY
- BACA: PROTON X50 CATAT TEMPAHAN 100,000 UNIT DALAM MASA 16 BULAN. LARIS BETUL NI…
- BACA: PROTON MENYEDARI ISU SELEPAS JUALAN DAN ALAT GANTI