Buletin

PROTON KEMBALI KE PASARAN SINGAPURA DENGAN PROTON e.MAS 7

PROTON kembali menjejakkan kaki ke pasaran Singapura selepas lebih sedekad, membawa bersama gelombang baharu mobiliti elektrik melalui pelancaran rasmi e.MAS 7 di The Car Expo 2025.

Model elektrik sepenuhnya itu yang kini menjadi EV paling laris di Malaysia selama empat bulan berturut-turut, menandakan kebangkitan semula jenama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan pengedar rasmi baharu, VINCAR Group, PROTON menembusi semula pasaran yang dikenali sebagai antara yang paling berdaya saing dan berteknologi tinggi di rantau ini.

VINCAR akan menjadi tulang belakang kepada rangkaian EV PROTON di Singapura, di bawah penjenamaan e.MAS, yang menyasarkan pengguna bandar dengan gaya hidup moden dan celik teknologi.

Kemunculan semula ini turut bertepatan dengan arah tuju Singapura yang agresif ke arah pengangkutan hijau.

Dari tahun 2022 ke 2023, bahagian pasaran EV di republik itu melonjak daripada 12 peratus ke 18 peratus, dengan matlamat untuk mencapai 55 peratus menjelang 2027.

Seiring itu, kerajaan negara tersebut giat memperluas infrastruktur pengecasan EV dengan merancang sekurang-kurangnya 12,000 titik pengecasan di kawasan perumahan HDB menjelang 2025, dan 60,000 menjelang 2030.

Sasaran jangka panjang mereka adalah untuk mencapai penggunaan 100 peratus kenderaan bertenaga bersih menjelang 2040.

SUV elektrik segmen C, Proton e.MAS 7, tampil dengan gaya kontemporari dan kejuruteraan canggih. Ia direka dengan tumpuan pada kecekapan aerodinamik (pekali seretan hanya 0.275) dan dipacu oleh sistem motor elektrik bersepadu 12-dalam-1 berprestasi tinggi.

Dilengkapi bateri ‘short blade’ Aegis dan pelbagai ciri teknologi pintar, termasuk skrin sentuh 15.4-inci beresolusi 2.5K dan sistem Flyme Auto.

Kedua-dua varian Prime dan Premium bakal dipamerkan di booth D25, Singapore EXPO Hall 3 & 4, dengan pilihan enam warna menawan termasuk Quartz Rose, Turquoise Green serta Moyu Black.

Setakat ini, lebih 6,000 tempahan telah direkodkan di Malaysia, memperlihatkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna tempatan terhadap EV buatan tempatan.

Google ads
Back to top button