
TEKSI HALANG AMBULANS, PESAKIT JANTUNG MENINGGAL DUNIA
Polis Phuket mendakwa seorang pemandu teksi tempatan selepas tular rakaman video yang menunjukkan sebuah ambulans dihalang kenderaannya dalam kejadian di daerah Kathu, Thailand, baru-baru ini.
The Straits Times melaporkan, video tersebar meluas itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didedahkan pesakit di dalam ambulans berkenaan meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.
Pusat Penyelamat Pertubuhan Pentadbiran Subdaerah Kamala berkata, terdahulu, pesakit lelaki berusia 77 tahun yang mempunyai sejarah penyakit jantung itu rebah di kebun durian di Kamala sebelum keluarganya menghubungi talian kecemasan.
Rakaman video yang dimuat naik pusat itu memaparkan pemandu teksi berkenaan enggan memberi laluan kepada ambulans walaupun siren dan lampu kecemasan dinyalakan.
Insiden berlaku di Jalan Kamala-Patong di daerah Kathu, Phuket, apabila teksi itu didapati bergerak di lorong tengah dan dikatakan enggan menukar lorong selama beberapa minit walaupun ambulans menghampiri dengan lampu berkelip serta siren berbunyi kuat.
Difahamkan, anak perempuan pesakit yang juga seorang jururawat, terpaksa melakukan bantuan pernafasan (CPR) sepanjang perjalanan menuju ke Hospital Patong.
Namun, kelewatan akibat ambulans tersekat di jalan didakwa menjadi punca pesakit gagal menerima rawatan kecemasan tepat pada masanya, dan lelaki itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Susulan kejadian, pihak Hospital Patong dan polis tempatan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera papan pemuka untuk siasatan.
Balai Polis Patong memaklumkan pemandu teksi terbabit sudah dipanggil dan kini berdepan dua pertuduhan iaitu menghalang kenderaan kecemasan serta melanggar hak pesakit. – Harian Metro
- BACA: VOLKSWAGEN MALAYSIA LANCAR GOLF GTI BLACK EDITION – HARGA BERMULA RM243K
- BACA: VOLKSWAGEN MALAYSIA PERKENAL WOLFSBURG EDITION UNTUK ARTEON DAN TIGUAN ALLSPACE – HARGA BERMULA RM180K
- BACA: YAMAHA 135LC, Y15ZR MOTOSIKAL PALING BANYAK KEMALANGAN TAHUN 2024
- BACA: CERMIN KERETA, SUNROOF ATAU PANAROMIC ROOF BOLEH PECAH TIBA-TIBA ?