Buletin

CD 0.208 HANYA GIMIK? BLOGGER CHINA BONGKAR ‘KEBOHONGAN’ AVATR 12!

Angka kecekapan seperti koefisien seretan (drag coefficient atau Cd) mungkin jarang mencuri perhatian berbanding jarak pemanduan atau kuasa kuda, namun ia sebenarnya memainkan peranan penting dalam prestasi dan kecekapan kenderaan elektrik (EV).

Semakin rendah nilai Cd, semakin lancar pergerakan kereta, sekaligus membolehkan pengeluar menggunakan pek bateri yang lebih ringan dan menjimatkan tenaga.

Oleh sebab itu, ramai pengeluar termasuk Avatr, Volvo, Audi dan Lightyear berlumba-lumba mempromosikan nilai Cd mereka yang rendah. Tapi kini, timbul dakwaan bahawa tidak semua pengeluar bersikap telus mengenai angka tersebut.

Seorang blogger automotif popular dari China, Zurich Bei Le Ye, yang memiliki lebih sejuta pengikut, mencabar sendiri dakwaan pengeluar EV tempatan, Avatr.

Ye yang turut memiliki model Avatr 12, ingin mengesahkan sendiri dakwaan syarikat bahawa sedan elektrik itu mencatatkan Cd serendah 0.208, satu angka yang amat mengagumkan.

Namun apabila Ye membawa keretanya ke terowong angin milik Pusat Penyelidikan dan Teknologi Automotif China (CATARC) di Tianjin untuk menjalankan ujian sebenar, keputusan yang diperoleh sangat berbeza.

Menurut Ye, ujiannya menunjukkan Cd sebenar Avatr 12 adalah sekitar 0.281, iaitu jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi diumumkan syarikat.

Malah, angka itu hampir menyamai nilai seretan SUV besar seperti Volvo EX90. Data tersebut kekal konsisten pada pelbagai kelajuan antara 80 hingga 140 km/j, dan ujian tersebut dikendalikan oleh juruteknik bertauliah mengikut piawaian CSAE 146-2020.

Situasi menjadi lebih mencurigakan apabila Ye mendakwa pihak makmal enggan mengeluarkan laporan rasmi hasil ujian, dan video ujiannya juga telah dipadam.

Laporan Car News China menyebut bahawa tindakan ini mencetuskan spekulasi kemungkinan campur tangan pihak pengeluar.

Sebagai respon, Avatr menafikan sebarang penipuan dan menuduh wujudnya kempen ‘PR hitam’ untuk memburukkan imej mereka.

Syarikat itu turut menawarkan ganjaran sebanyak 5 juta yuan (sekitar RM3.2 juta) kepada sesiapa yang boleh mengemukakan bukti berkenaan kempen tersebut.

Dalam masa sama, Ye menegaskan bahawa Avatr perlu mendedahkan data ujian asal mereka secara terbuka dan menjalankan demonstrasi prestasi kenderaan di hadapan umum.

Insiden ini bukan sahaja mencalar imej Avatr, malah turut menimbulkan persoalan terhadap dakwaan luar biasa pengeluar lain seperti Xpeng, yang sebelum ini mendakwa menghasilkan kereta paling aerodinamik di dunia.

Industri automotif China sememangnya sedang berkembang pesat, namun insiden seperti ini menunjukkan masih banyak yang perlu diperbaiki dalam aspek ketelusan dan kepercayaan pengguna.

Google ads
Back to top button