
THE HUNGER GAMES: CATCHING FIRE
Judul: The Hunger Games: Catching Fire
Genre: Aksi & penggambaran, sains fiksyen & fantasi
Pengarah: Francis Lawrence
Pelakon: Jennifer Lawrence, Josh Hutcherson, Liam Hemsworth, Elizabeth Banks, Stanley Tucci, Jena Malone, Sam Claflin dan Woody Harrelson.
Bintang: ***1/2
SEKUEL filem The Hunger Games ini bermula daripada babak akhir filem terbitan tahun 2012 tersebut dengan karakter utamanya, Katniss Everdeen (lakonan Jennifer Lawrence) pulang ke kampung halamannya selepas bergelar juara bersama acara tahunan Hunger Games kali ke-74 dengan rakan sekampungnya, Peeta Mellark (Josh Hutcherson).
Cabaran yang dihadapi oleh sebuah karya sekuel sudah tentu untuk mengatasi kejayaan dan mutu naskhah pertamanya. Justeru, The Hunger Games: Catching Fire berada dalam dilema yang sama.
Apa lagi sebenarnya yang hendak dikembangkan daripada kisah kejayaan Katniss dan Peeta memenangi Hunger Games ke-74, selain daripada mereka kembali ke gelanggang maut permainan antara hidup dan mati Hunger Games ke-75.
Selain pengembangan plot menerusi penampilan karakter-karakter penting yang baru, langkah drastik untuk sekuel yang lebih baik daripada naskhah asalnya sudah tentu pengarah yang berlainan. Namun, barisan tenaga pelakon utama dikekalkan.
Jika The Hunger Games diarahkan oleh Gary Ross, sekuelnya kali ini menggunakan khidmat arahan Francis Lawrence. Filem itu tetap menampilkan Jennifer Lawrence serta Josh Hutcherson untuk dua watak utamanya.
Katniss dan Peeta sebenarnya telah dipaksa oleh kerajaan pusat yang dikenali sebagai Capitol (penganjur pertandingan maut Hunger Games) supaya menyertai Hunger Games ke-75 bersama 22 orang bekas juara Hunger Games.
Lebih banyak peserta dan permainan maut yang lebih berbahaya ditampilkan, The Hunger Games: Catching Fire ternyata lebih ‘panas’ berbanding naskhah asalnya. Ia sukses ekoran plot permainan maut Hunger Games ke-75 yang dipelbagaikan sehingga mampu memberikan impak penuh impresif.
Sebagai pemenang Oscar, Jennifer Lawrence ternyata memberikan kualiti lakonan yang lebih mantap dari segi permainan emosi dalaman – setara dengan aksinya sebagai Katniss yang berjuang untuk terus hidup. Sekali gus mahu memburu gelaran juara Hunger Games ke-75. Namun mampukah Katniss mengulangi kejayaannya pada Hunger Games ke-74? Bagaimana pula dengan nasib Peeta kali ini?
Secara dasarnya, naskhah kali ini memperlihatkan rakyat jelata yang dinaungi kerajaan diktaktor Capitol semakin menyedari bahawa mereka perlu bertindak balas selepas selama ini ditindas. Katniss adalah pemangkin ke arah revolusi yang kian berakar umbi itu.
Hunger Games: The Catching Fire berjaya dalam mengadunkan aksi pertarungan, emosi dan pergolakan sebuah negara yang ditunjangi kerajaan diktaktor dengan lebih efektif berbanding naskhah pertamanya.
Dengan nyalaan semangat itu, ia ternyata menampilkan permainan maut yang lebih panas membara- impak yang jelas nyata bahawa naskhah ini sukses dalam mengatasi naskhah pertamanya itu.













