Modifikasi

PROTON SATRIA ENJIN LANCER GSR

Satria ini membuktikan bahawa kadang-kala membiarkan kereta kelihatan standard tapi ‘berisi’ itu lebih menyeronokkan.

sp39

Ada orang, bila nak bikin kereta, sangat pentingkan gaya. Kereta mesti guna warna fancy, bodykit gempak dengan sport rim sebesar kawah, walaupun kereta itu nak guna buat berlumba.

Ada lagi satu kelompok yang projek kereta mereka ikut rasmi Pendekar Mustar. Dari luar nampak macam kosong, tapi dalam penuh isi. Kereta depa ni, sekali pandang macam kereta ubah suai tak cukup duit. Tapi bila pedal minyak ditekan, semua orang makan asap.

sp23

Proton Satria ini ialah contoh golongan kedua. Mereka lebih berminat menguatkan tenaga batin daripada berbadan sado. Tenaga batin yang saya maksudkan tentulah merujuk kepada seketul blok aluminium di dalam ruang bonet depan kereta.

Nak capai tahap tenaga batin ke-10 bukanlah mudah. Terutama kalau kereta yang digunakan pada asalnya hanya dibekalkan dengan enjin 1.3 liter.

sp30

Pemilik kereta ini, Zaid telah membawa keretanya ke bengkel Next Auto. Bengkel yang terletak di kaki gunung batu kapur di Ipoh itu memang terkenal dalam meningkatkan kuasa kereta.

Enjin pilihan ialah 4G93T daripada Mitsubishi Lancer GSR. Memang tak sekuat enjin 4G63. Kalau anda dah lama main kereta, mesti tahu enjin itu JPJ dah tak bagi daftar untuk casis Proton Satria.

sp1

Kalau salin begitu sahaja, kuasanya hanya sederhana. Jadi, enjin itu dibaraikan dan kesemua piston asal diganti dengan piston Wiseco yang ditemani conrod Duratech. Kepala silinder enjin pula dipakaikan sepasang cam pulley boleh laras Works.

Apabila blok bercantum semula dengan kepala silinder, pihak bengkel tahu bahawa enjin ini mampu menampung boost yang tinggi. Sebab itu turbo yang paling besar, Holset HX35 dipilih untuk disumbat ke dalam enjin GSR tersebut.

sp4

Turbo gergasi yang bertapak di atas manifold ekzos ADM Speed itu terpaksa disejukkan dengan intercooler HKS. Paip-paip keluli tahan karat custom terpaksa dibina untuk menyambung intercooler dengan turbo baharu itu. Sebuah wastegate external Tial dan injap blow-off GReddy dipasang bagi melengkapkan kit turbo tersebut.

Bagi memastikan enjin tidak haus bahan api walaupun pada boost tinggi, pam bahan api tekanan tinggi Bosch 044 diletak di dalam tangki. Pelaras bahan api Works memastikan petrol yang dihantar daripada pam sampai pada tahap tekanan optima.

sp12

 

Kawalan kuasa dilakukan oleh ECU jenis stand-alone MicroTech yang menggantikan ECU dan sistem pendawaian asal enjin GSR itu.

Enjin dengan kuasa kuda melangkaui 300bhp itu kemudian disambung kepada kotak gear manual asal GSR. Fungsi pacuan empat rodanya dimatikan dengan klac perlumbaan Quarter Master.

sp29

Menjadi tanggungjawab tayar-tayar separa slick Toyo T1R 205/50ZR16 yang membalut rim aloi Enkei RP01 untuk memindahkan kuasa tadi ke atas jalan raya. Satria ini dilengkapi set penyerap hentak boleh laras sepenuhnya daripada Tein Type HA. Manakala sistem brek OEM Lancer Evolution memastikan kereta ini boleh menggunakan kuasanya dengan selamat.

Satria ini tak ada apa-apa yang istimewa dari segi penampilannya. Semuanya standard, kecuali lips bampar depan. Saya rasa Zaid terpaksa letak sebab saiz intercooler yang terlebih besar.

sp21

Di bahagian kabin, Satria ini menggunakan tempat duduk pemandu Bride dan stereng sport Momo. Di atas papan pemuka, Zaid memasang sebuah meter boost dan meter RPM daripada Defi.

Satria ni membuktikan bahawa kadang-kala membiarkan kereta kita kelihatan standard tapi ‘berisi’ itu lebih menyeronokkan. Terutama apabila korang dapat mengejutkan pesaing anda yang memandu kereta kelihatan umpama merak, tapi isi tarak!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button