Buletin

PROTON SERAH 32 UNIT KERETA KEPADA UEM EDGENTA

PROTON dan UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) baru-baru ini mengadakan satu majlis penyerahan 32 unit Proton yang melibatkan model Persona dan Perdana.

Kereta itu akan digunakan untuk operasi harian Edgenta PROPEL Berhad (Edgenta PROPEL), Bahagian Perkhidmatan Infra dan anak syarikat milik UEM Edgenta.

Majlis tersebut berlangsung di Pusat Kecemerlangan PROTON.  Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong menyampaikan replica kunci kepada Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Dato’ Azmir Merican, disaksikan oleh Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Edgenta PROPEL adalah pakar penyelenggaraan pengurusan dan infrastruktur rangkaian utama negara dengan lebih dari 25 tahun pengalaman dalam industri pengurusan penyelenggaraan infrastruktur.

Ia mengurus, menyelenggara dan memantau lebih 2,500 kilometer lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perladangan di Malaysia. Operasinya merangkumi 24 jam sehari, 365 hari setahun.

Demi mencapai kecekapan operasi yang maksimum serta memastikan keselamatan kakitangan terpelihara, pihaknya memutuskan untuk melaksanakan program pembaharuan flit yang melibatkan penggantian kereta-kereta yang berumur lebih dari 10 tahun.

“Komitmen terhadap kecekapan operasi akan diteruskan dan program pembaharuan flit kami yang akan diperluaskan melalui pemerolehan lori tambahan dan trak pikap sebelum akhir tahun ini,” kata Azmir.

Hubungan PROTON dengan UEM Edgenta sudah lama terjalin sejak tahun 2002. Sejak itu, sebanyak 236 unit kereta Proton telah dibeli melalui program jualan flit korporat. Ini termasuk pembelian 30 unit Persona dan 2 unit Perdana baru-baru ini.

“Persona telah menjadi salah satu model terlaris PROTON sejak dilancarkan pada tahun 2016. Perdana pula dilihat sebagai sebuah kereta yang bergaya.

“Kami menghargai sokongan berterusan dari UEM Edgenta dan akan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka,” kata Dr Li.

Google ads
Back to top button