Buletin

PROTON X70 2025 DILANCARKAN DI SABAH DAN SARAWAK – HARGA BERMULA RM100K

Setelah diperkenalkan kepada umum pada 15 Ogos, PROTON X70 2025 telah dilancarkan di Sabah dan Sarawak, menandakan kali pertama PROTON mengadakan pelancaran berasingan untuk model SUVnya khusus untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak.

SUV segmen C tersebut tampil dengan bahagian luar yang dikemas kini, ciri baharu untuk ruang kabin, teknologi ADAS 2.0 lebih maju serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto buat pertama kalinya pada model Proton.

Ciri itu akan ditawarkan kepada pemilik tanpa kos tambahan melalui kemas kini over-the-air (OTA) setelah semua pelesenan diluluskan.

Ciri baharu yang paling ketara ialah gril hadapan yang lebih besar dengan elemen corak songket yang mengelilingi logo Proton, dibingkai oleh lampu hadapan trapezoid baharu yang terdiri daripada 47 unit LED. 

Bampar dan fender hadapan baharu membuatkan penampilannya semakin agresif. Manakala bampar dan skirting belakang baharu menonjolkan gaya di bahagian belakang. Rupa itu dilengkapkan dengan rim aloi dua tona 19 inci. 

PROTON X70 2025 tersedia dalam lima warna luaran:

  • Snow White
  • Armour Silver
  • Jet Grey
  • Ruby Red
  • Marine Blue

Di ruang kabin, SUV itu hadir dengan padanan warna kelabu premium untuk varian 1.5 TD Premium dan Premium X.

Dua varian teratas juga menerima ciri pencahayaan ambien dalam bentuk lampu LED pada panel instrumen yang mempunyai 72 pilihan warna dan boleh bergerak mengikut irama muzik dimainkan.

Semua varian menerima skrin terapung 12.3 inci yang menampilkan unit 4GB RAM dan 32GB ruang penyimpanan.

Ciri pengenalan suara yang membolehkan akses kepada pelbagai fungsi melalui arahan suara “Hi PROTON” dan Sistem Penapis Udara Pintar Proton (PIAPS) juga dikekalkan pada semua varian. 

PROTON X70 2025 dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter yang dipasang oleh PROTON di kilang enjin di Tanjong Malim.

Menghasilkan 177PS dan 255Nm tork, ia dipadankan dengan transmisi dual-klac 7-kelajuan untuk pertukaran gear yang cepat, senyap dan empat peratus lebih menjimatkan bahan api. 

PROTON turut menambah ciri  ADAS 2.0 untuk varian Premium dan Premium X. Sistem tersebut mempunyai 13 sistem keselamatan aktif yang terdiri daripada Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dengan berhenti dan pergi, Kawalan Pelayaran Pintar (ICC), Amaran Perlepasan Laluan (LDW), Pencegahan Perlepasan Laluan (LDP), Kawalan Pusat Laluan (LCC), Bantuan Tukar Laluan (LCA), Amaran Trafik Silang Belakang (RCTA), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Membuka Pintu (DOW), Maklumat Tanda Trafik (TSI), dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).

Melengkapi peralatan ADAS adalah senarai panjang sistem keselamatan yang disertakan pada semua varian PROTON X70 2025.

Ini termasuklah enam Airbag SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengedaran Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Auto Brake Hold, Kawalan Keselamatan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Pegangan Bukit (HHA) dan Kawalan Turun Bukit (HDC).

Untuk meraikan pelancaran ini, PROTON menawarkan nilai tambahan sehingga RM23,500 tanpa kos tambahan untuk 3,000 pelanggan pertama yang mendaftar PROTON X70 2025 mereka.

Model baharu ini juga datang dengan jaminan lima tahun tanpa had jarak perjalanan, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan, dan enam perkhidmatan buruh percuma.

Untuk menangani kebimbangan sebelum ini tentang ketersediaan alat ganti di Sabah dan Sarawak, PROTON telah membuat pelaburan besar dalam rangkaian alat gantinya dengan membuka dua Pusat Alat Ganti Wilayah (RPC) baharu di Sabah dan Sarawak—satu di Kuching pada Februari 2023, dan satu lagi di Kota Kinabalu, yang dilancarkan hanya tiga minggu lalu.

Untuk Sabah dan Sarawak, X70 facelift 2025 boleh dimiliki pada harga bermula RM100,800 (Standard), Executive berharga RM112,800, Premium berharga RM125,800 dan Premium X berharga RM128,800. 

Google ads
"
"
Back to top button