Pandu Uji

MERCEDES BENZ EQE 350+ AMG LINE – APA BARANG TESLA

Mercedes mempertahruhkan barisan model EQ bagi mendepani cabaran kereta elektrik daripada pemain baru automatif, namun istimewa bagi model EQE ini ia adalah model yang menggunakan platform baru yang didedikasi khas untuk kereta elektrik.

Jika model EQA menggunakan platform MFA2 yang berkongsi platform dengan model berenjin petrol, model EQE menggunakan platform EVA iaitu singkatan kepada Electric Vehicle Architecture (platform papan luncur) yang serba baru khusus untuk kereta elektrik.

Salah satu ukuran prestasi kereta elektrik ialah kemampuannya untuk dipandu jauh dengan satu pengecasan sahaja. Jadi selain diberikan bateri yang besar, model EQE ini direka dengan rekaan luar yang cukup aerodinamik bagi mengurangkan seretan udara.

Pekali seretan di bahagian luar mencatatkan bcaan sekitar 0.242 dengan bantuan rekaan luar yang bulat, bujur dan juga tiada garisan tajam yang menyebabkan terhasilnya pusaran udara. Seperti kereta elektrik yang lain, bahagian depan jeriji atas telah ditutup untuk aliran udara yang minima

Rekaan yang bulat ini kemudian dijadikan lebih sporti dengan bantuan kemasan AMG Line yang terdiri daripada bampar depan AMG, apron belakang AMG, rim 5 bilah AMG yang telah dioptimumkan secara aerodinamik.

Varian AMG juga diberikan lampu depan LED MAtrix Digital Light dan juga pemegang pintu yang “tersimpan” dalam pintu jika tidak digunakan dan lengkap dengan pencahayaan LED pada waktu malam.

Mercedes Benz EQE merupakan antara produk awal yang dihasilkan dengan menggunakan Electric Vehicle Architecture Platform, diberikan bateri Nickel Magnesium Cobalt bersaiz 90.6kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 682km mengikut standard WLTP.

Sistem pengecasan Arus ulang alik (AC) dipasang dengan sistem 22kW bagi membenarkan pengecasan dibuat dalam masa 4 jam 45 minit dari 0-100%. Bagi sistem pengecasan pantas, EQE 350 diberikan pengecas 170kW bagi membolehkannya dicaj dari 10% ke 80 % dalam masa 33 minit.

Berbeza dengan model yang menggunakan enjin petrol, rekaan dalaman bagi model elektrik ini telah dirombak sepenuhnya. Kedudukan corong penyaman udara 3 beradik telah digantikan dengan skrin sebesar 30.2 inci OLED dan juga corong penyaman udara yang baru.

Skrin multimedia ini dioperasikan dengan sistem MBUX (Mercedes Benz User Experience) boleh disambung dengan telefon pintar melalui sistem Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar. Menyerlahkan lagi ciri mewah ialah sistem bunyi Burmester 3D yang menghasilkan kualiti bunyi yang cukup padu.

Jika varian biasa diberikan kusyen dengan balutan kulit, varian AMG menerima kusyen dengan bantuan kuasa elektrik 10 kedudukan yang dibalut dengan fabrik Microcut Fibre dan disulam dengan kulit Artico Man Made Leather bagi menghasilkan imej sporti AMG.

Imej sporti AMG diteruskan lagi dengan ciri AMG Sport Steering Nappa Leather, paddleshifter untuk brek regeneratif, pedal sport, pelapik lantai AMG dan juga kemasan aluminium pada bingkai pintu yang dihiasi cahaya LED

EQE juga menawarkan ciri penyaman udara 4 zon dengan kawalan untuk penumpang belakang, bumbung panaromic, serta penyandar belakang yang boleh dilipat kepada 3 bahagian jika diperlukan untuk membesarkan ruang kargo bersaiz 430 liter.

Varian yang dipandu uji oleh penulis merupakan varian satu motor tunggal pacuan roda belakang, menawarkan sehingga 292 kuasa kuda dan 565 Nm tork. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.4 saat dan halaju tertinggi ditetapkan pada 210km/jam.

Pada hemat penulis, angka tersebut sebenarnya sudah cukup memuaskan hati penulis. Jika anda memandu agresif seperti penulis, agak sukar untuk mencapai jarak perjalanan 682km seperti yang tertera pada maklumat rasmi.

Namun jika anda memandu secara berhemah dengan kelajuan dihadkan pada 120km/jam, penggunaan tenaga adalah sekitar 17.3kWh bagi setiap 100km. Malah dengan berat mencecah 2335kg, pecutan yang ditawarkan oleh EQE adalah cukup baik, memandangkan tork maksima mencapai 565Nm.

Terdapat 3 mod pemanduan yang disediakan samaada Sport, ECO ataupun Comfort. Tetapi pada kebanyakan masa penulis memandu dengan menggunakan mode Comfort yang menawarkan pemanduan yang seimbang dari segi kuasa, brek, dan prestasi sistem penyerap hentak adaptif.

Operasi brek EQE menggabungkan brek regeneratif dan brek konvensional yang boleh beroperasi secara harmoni apabila pedal brek ditekan. Kekuatan brek regeneratif juga boleh dikawal dengan menggunakan paddle shifter yang dipasang di belakang stering.

Brek regeneratif membantu mengecaj semula bateri dan memberikan ciri “engine braking” ketika mengambil selekoh secara agresif. Namun jika anda malas, terdapay sistem radar yang akan membantu anda mengawal brek regeneratif secara automatik.

Brek kecemasan AEB pula pada hemat penulis adalah cukup sensitif, sentiasa memantau keadaan persekitaran yang sedia untuk membrek atau melakukan gerakan “mengelak” dari terlanggar objek di depan. Malah jika ia mengesan bahaya, sistem ini akan mengetatkan tali pinggang keselamatan sekaligus mengingatkan penulis akan bahaya yang dikesan

Dalam aspek pengendalian, penulis rasakan Mercedes Benz EQE adalah lebih baik berbanding dengan Audi Q8 e-Tron dengan persamaan antara jentera ini ialah penggunaan sistem suspensi adaptif. Namun pengendalian EQE jauh lebih baik kerana ia lebih rendah berbanding dengan Audi Q8

Walaupun berat mencecah 2335kg, EQE berjaya menyembunyikan berat kenderaan dengan baik, menawarkan keselesaan ketika melalui jalan tidak rata, tidak terlalu membuai ketika melepasi jalan tidak rata dan pada masa yang sama kawalan stering dan cesi ketika melalui selekoh adalah baik. Namun jika terlalu laju, anda akan terasa sedikit gayat.

Namun dari segi pengendalian dan kawalan ketika membuat pusingan U, tayar belakang boleh berputar pada paksi sebanyak 10 darjah, membenarkan EQE diparkir dan melalui kawasan sesak dengan mudah. Tidak dinafikan ciri ini juga membantu pengendalian EQE pada halaju yang tinggi

Dalam aspek keselamatan, boleh dikatakan yang Mercedes EQE ini datang dengan sistem keselamatan aktif yang cukup cemerlang terutama lampu depan adapatif LED 3D matrix yang berupaya menghasilkan bayang-bayang pada kereta depan dengan tepat walaupun menggunakan lampu tinggi

Kamera 360 darjah menawarkan kualiti video yang cukup terang terutama pada waktu malam dengan bantuan lampu sisi yang dihidupkan dari cermin sisi. Ciri tambahan seperti Urban Guard pula bertindak menjadikan semua kamera sebagai CCTV dan juga ciri nyahaktif kunci sekiranya kunci kereta hilang.

Namun dengan harga RM 430,000 kami tetap akan senaraikan beberapa perkara yang kurang disukai berkenaan dengan EQE ini. Pertama ialah kontur sandaran kusyen terasa dibuat untuk badan pemandu dari Eropah dan bukannya badan pemandu Asia. Tambahan pula sudut operasi pedal minyak terasa kurang memuaskan dan menyebabkan kaki penulis menjadi lenguh.

Ciri Hyperscreen tidak ditawarkan di Malaysia dan digantikan dengan paparan lampu kabin yang biasa sahaja. Penulis juga rasakan kusyen juga tidak perlu dipasang dengan lampu LED pada bahagian sisi kerana ia menjadikan suasana dalam kabin terlalu meriah

Namun dari segi prestasi jarak pemanduan, kepuasan pemanduan, kawalan stering dan cesi maka penulis rasa RM 430,000 adalah berbaloi. Apatah lagi EQE dibina dengan platform baru lengkap dengan suspensi adaptif serta ciri rear axle steering.

Google ads
Back to top button