Buletin

PROTON X70 CKD SAH GUNA KOTAK GEAR DCT 7 KELAJUAN!

Proton dalam peringkat akhir dalam mempersiapkan pelancaran terbaru mereka Proton X70 versi pemasangan tempatan atau CKD.

Hanya beberapa minggu lagi sebelum pelancarannya, pembuat kereta Nasional itu mengesahkan bahawa SUV mereka akan menggunakan kotak gear baharu tujuh kelajuan dengan klac berkembar bagi menggantikan kotak gear enam kelajuan konvensional pada model import (CBU)

Kotak gear DCT tujuh kelajuan ini telah dibangunkan bersama oleh Geely dan subsidiari mereka Volvo dan telah digunakan dengan meluas pada model-model terkini kumpulan syarikat ini yang terdiri daripada Volvo XC40 dan rangkaian terbaru model Lynk & Co dan Geely. Kebanyakan model terkini mereka menggunakan enjin tiga silinder turbocharged 1.5 liter.

Namun bagi kes X70, ia masih mengekalkan enjin empat selinder turbo 1.8 liter.

Jika dilihat secara teknikal, ia tidak menghasilkan sebarang perubahan angka keluaran kuasa namun penggunakan kotak gear moden ini memendekkan jarak pecutan lantas menghasilkan ekstra 15Nm tork. Tujahan kuasa kini meningkat kepada 300 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm; namun penghasilan kuasa tetap sama iaitu 181 hp pada 5,500 rpm.

Meskipun Geely Boyue (model asal X70) adalah model yang telah berusia hampir lima tahun, namun pembinaaan asas enjin ini jauh mendahului masa. Ia telah disediakan dengan talaan moden, dilengkapi dengan peralatan pelepasan yang diperbaharui yang membolehkan ia memenuhi peraturan baru Euro 6d jika diperlukan pada masa akan datang.

Penggunaan kotak gear baru juga telah menghasilkan kecekapan bahan api, dengan angka gabungan turun dari 7.8 liter setiap 100 km kepada 7.5 bagi model yang dipacu dua roda hadapan.

Tags
Google ads
Back to top button