KTM DEDAH PROTOTAIP DENGAN TRANSMISI AUTOMATIK
KTM telah memperkenalkan prototaip motosikal ‘adventure’ yang julung kalinya dilengkapi dengan sistem transmisi automatik.
KTM menamakan model itu sebagai KTM AMT Prototype dengan AMT merujuk kepada transmisi automatik tanpa klac. Buat masa ini tidak banyak maklumat yang didedahkan syarikat Austria itu selain dari memaklumkan terdapat tiga varian yang akan diperkenalkan kelak termasuk S, R dan Rally.
Menurut KTM, AMT bererti Automatik Manual Transmission dan dibina berdasarkan konsep ‘Ready-to-Race’ yang menjadi pegangan KTM selama ini.
Menariknya, sistem AMT ini bermakna prototaip tersebut tidak dilengkapi dengan klac tangan seperti motosikal konvensional. Ini bermakna motosikal tersebut boleh ditunggang dalam keadaan automatik sepenuhnya.
Namun, sekiranya mengaktifkan mod semi-automatik, gear boleh ditukar dengan cara menekan butang di sebelah ‘handlebar’ atau dengan menggunakan ‘gear lever’ seperti sistem ‘quickshifter.’
Walaupun sistem tersebut kedengaran seperti sistem DCT (dual-clutch transmission) yang ditawarkan Honda ketika ini namun hakikatnya kedua-duanya berbeza.
Ini kerana gearbox KTM mengguna pakai penggerak elektrik (electric actuator) untuk menukar nisbah gear dan klac ‘centrifugal’ yang membolehkan motosikal berhenti tanpa enjin mati mengejut dan bergerak dari keadaan pegun tanpa perlunya input dari penunggang.
Sementara itu, pertukaran gear (ketika mod manual diaktifk) pada sistem DCT hanya boleh dilakukan dengan menekan butang khas di handelbar dan tiada ‘gear lever’ di bahagian kaki.
Untuk rekod, KTM melakukan ujian pada KTM AMT Prototype ini di Erzberg, Austria dengan menyertai kejohanan ron Road Prolog yang menyaksikan prototaip tersebut mendapat tempat ketujuh. Jentera tersebut ditunggang pelumba enduro dan rali Perancis, Johnny Aubert.
KTM akan mendedahkan maklumat rasmi mengenai prototaip KTM AMT ini pada 24 September 2024.