Motosikal

TAMBAH ‘ASSEMBLY LINE’, MODENAS CADANG PASANG KAWASAKI NINJA ZX-10R DI GURUN?

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah memasang motosikal Kawasaki Ninja ZX-6R di kilang yang terletak di Gurun, Kedah untuk tujuan eksport ke pasaran China. 

Pemasangan Ninja ZX-6R itu diluluskan pihak Kawasaki Motors Ltd (KMC) selepas menyaksikan pihak Modenas dengan jayanya berjaya memasang beberapa model Kawasaki bersesaran 250 hingga 900cc sebelum ini. 

Antara model pemasangan tempatan (CKD) yang dilaksanakan di Gurun termasuk Ninja 250, Z250, Versys-X 250, Ninja ZX-25R, Ninja ZX-25RR, Ninja 650, Z650, Versys 650 dan Z900 SE dan Z900RS. 

Ketika lawatan ke kilang di Gurun, kami dimaklumkan Modenas mempunyai perancangan untuk menambah barisan pemasangan (assembly line) Kawasaki.

Untuk rekod, Modenas kini memiliki lima barisan pemasangan dengan dua dikhaskan untuk model Modenas sementara baki tiga lagi khusus untuk pemasangan model Kawasaki. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, pihaknya bercadang untuk menambah barisan pengeluaran selewatnya tahun ini atau awal tahun depan. 

Penambahan itu selaras dengan perancangan Modenas untuk memasangan motosikal atas 900cc. Walaupun model “atas 900cc” itu tidak dinyatakan namun kami menjangkakan model tersebut akan merangkumi Ninja ZX-10R, Ninja S1000SX dan Versys 1000. 

Perkembangan tersebut dilihat positif terutamanya mengangkat imej Modenas dan tenaga kerja tempatan yang berupaya memasang motosikal Kawasaki secara meluas di Malaysia.

Google ads
Back to top button