HONDA FORZA 750 GENERASI TERBARU DIPERKENAL – DENGAN CRUISE CONTROL, 58HP
Selang beberapa hari selepas Honda melancarkan X-ADV 750 generasi terbaru, jenama motosikal Jepun itu turut memperkenalkan Forza 750 baharu bagi tahun 2025.
Apa yang baru?
Pertamanya, Honda Forza 750 hadir dengan rupa paras baharu yakni lebih moden terutamanya dengan reka bentuk lampu baharu di hadapan yang menempatkan DRL (daytime running light).
Reka bentuk penghadang angin juga dinaik taraf bagi tahun 2025 yang kini 25 peratus lebih lebar berbanding model terdahulu. Selain menawarkan kedudukan naik turun sebanyak 120mm, cermin depan itu juga akan turun secara automatik apabila enjin dimatikan dan kembali naik ke kedudukan asal sebaik mencapai kelajuan lebih 5km/j.
Forza 750 2025 ini juga datang dengan reka bentuk rim baharu meskipun saiz 17-inci depan dan 15-inci belakang dikekalkan. Juga terdapat cakera brek berkembar 320mm depan yang dipadankan bersama brek 4-piston serta cakera 240mm dan brek 2-piston di belakang. Sistem brek juga dibantu ABS dwi-saluran.
Dalam pada itu, Honda mengekalkan pakej casis yang sama seperti model terdahulu dengan fork depan jenis USD 41mm dan suspeni belakang jenis Pro-Link.
Sementara itu, kedudukan pelana diletakkan pada 790mm dengan storan bawah tempat duduk telah dipertingkat agar boleh muat sebuah helmet bersaiz penuh (full-face). Honda juga mengubah kedudukan port pengecas USB dari bawah tempat duduk kepada handlebar.
Honda turut menaik taraf panel meter dengan skrin TFT 5-inci yang menawarkan fungsi Honda RoadSync yang boleh dihubungkan ke telefon pintar.
Pakej elektronik truut dipertingkat dengan tiga mod menunggang yang merangkumi Rain, Standard dan Sport. Fungsi cruise control juga didatangkan secara standard.
Meskipun banyak kelengkapan baharu namun Forza 750 ini masih lagi dikuasakan enjin parallel-twin 754cc yang berupaya menjana 58hp dan 69Nm pada 4,750rpm. Seperti X-ADV 750 generasi terbaru, Forza 750 ini juga menawarkan kawalan optimum pada kelajuan rendah selain memudahkan motosikal membuat pusingan U.
GALERI: HONDA FORZA 750