
PUREM, AAPICO BUKA KILANG DI MALAYSIA – TAWAR EKZOS SESUAI PIAWAIAN EMISI GLOBAL
Syarikat usaha sama Purem by Eberspaecher dan AAPICO Hitech Public Company Limited hari ini merasmikan pembukaan kilang pertama baharu di Malaysia.
Purem by Eberspaecher, peneraju global dalam teknologi ekzos, bersama-sama AAPICO, menawarkan penyelesaian mampan yang memenuhi piawaian emisi global untuk mobiliti bersih dan senyap.
“Ini merupakan pencapaian penting untuk aktiviti perniagaan kami di pasaran ASEAN”, menurut Rakan Kongsi Pengurusan Eberspaecher Group, Martin Peters.

“Ia menunjukkan bahawa produk serta teknologi kami untuk mobiliti bersih amat dinantikan dan kami berbesar hati bakal menyediakannya bersama rakan kongsi Usaha Sama kami, AAPICO.”
“Ini merupakan pelaburan alat ganti kedua kami di Malaysia pada tahun ini. AAPICO mempunyai keyakinan terhadap masa hadapan industri kenderaan di Malaysia. Saya berbangga untuk membawakan Purem by Eberspaecher, antara pengeluar ekzos terbesar dan utama di dunia ke Malaysia,” kata Presiden & CEO AAPICO Hitech PLC, Yeap Swee Chuan.
Untuk rekod, kilang baharu di Rawang meliputi kawasan seluas 4,000 meter persegi bagi pengeluaran rawatan susulan gas ekzos.

Ini termasuk apa yang dikenali sebagai peralatan hot ends iaitu penukar pemangkin (catalytic converter) dan perongga (manifold) serta peralatan cold ends iaitu peredam bunyi dan paip.
Menampilkan teknologi terkini, kira-kira 100 pekerja akan mengeluarkan dan menyediakan lebih kurang 400,000 komponen setiap tahun untuk empat model kereta berbeza bagi sebuah syarikat pengeluar automotif terkemuka di Malaysia.
Tambahnya lagi, Syarikat usaha sama itu mempunyai perancangan membabitkan pengeluaran selanjutnya dengan pelanggan tempatan baharu di samping perluasan teknikal di kemudahan pengeluaran bagi saduran pemangkin (catalyst).
Menerusi potensi kemudahan yang boleh diperluaskan sehingga 7,000 meter persegi dan beroperasi pada kapasiti penuh, usaha sama ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri alat ganti di Malaysia termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Selain itu, kelebihan lain termasuklah pengenalan teknologi terkemuka, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan pada masa yang sama menyediakan sistem ekzos bertaraf dunia.
- BACA: PROTON JALIN KERJASAMA DENGAN AAPICO – MELABUR SEBANYAK RM140 JUTA
- BACA: FOTO INTIP: PROTON S50 SEDANG DIUJI DI TANJUNG MALIM – SAINGAN KEPADA HONDA CITY, TOYOTA VIOS
- BACA: VinFast, SYARIKAT KERETA DARI VIETNAM DAN INI CARA MEREKA BEKERJA
- BACA: FIA HILANG AKAL, LETAK SYARAT 18 PUSINGAN BAGI SATU SET TAYAR.

