Buletin

VinFast, SYARIKAT KERETA DARI VIETNAM DAN INI CARA MEREKA BEKERJA

Berita tentang syarikat kereta dari Vietnam memang menggemparkan. Syarikat ini mempunyai cita-cita besar dan dalam minggu ini bakal mendedahkan dua model pertamanya di Pameran Kenderaan Paris.

Satu perkara menarik tentang VinFast ialah siapa disebaliknya dan bagaimana ia boleh begitu cepat menghasilkan model sendiri?

Mungkin ada yang memandang sinis dan bersikap kritikal terhadap idea syarikat Vietnam ini tetapi hakikatnya mereka mempunyai keazaman tinggi dan nekad dalam mencapai cita-citanya.

Menjelang pengenalan dua model VinFast di Paris, kami mengupas tentang syarikat ini dan bagaimana mereka mahu menghasilkan kereta pertama.

Siapa VinFast?

VinFast adalah subsidiari kepada Vingroup, salah satu daripada firma persendirian terbesar di Vietnam. Perolehan tahunan syarikat pada tahun 2017 ialah sebanyak AS 3.8 bilion.

Vingroup menyambut ulangtahun penubuhan ke-25 tahun ini dan merupakan peneraju dalam bidang pembinaan, hartanah dan mempunyai pegangan besar dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, pertanian, pelancongan dan perniagaan runcit.

VinFast turut memegang nilai yang sama seperti firma induknya iaitu untuk menyemarakkan pembangunan perindustrian di Vietnam, meneruskan proses permodenan negara dan menaikkan taraf hidup rakyat Vietnam.

Model pertama

Model sulung syarikat bukan sebuah tetapi dua sekaligus iaitu sedan dan SUV. Kedua-dua model ini dirancang untuk dikeluarkan dalam masa dua tahun.

Bagi mencapai sasaran tersebut VinFast bekerjasama dengan beberapa pihak luar secara serentak dan pada masa sama juga membina kilang pengeluaran baharu yang canggih.

Reka bentuk bertaraf dunia

VinFast memberi peluang kepada rakyat Vietnam untuk terlibat sama dalam menentukan halatuju reka bentuk melalui undian. Rekaan konsep oleh Italdesign menjadi pilihan majoriti dan kemudian dibangunkan serta disiapkan oleh Pininfariana.

Hasil akhir ialah kereta dengan adunan identiti Itali dan Vietnam.

Platform kenderaan

Ada yang kata model ini menggunakan platform BMW. Tiada lagi pengesahan daripada VinFast kecuali ia dibangunkan oleh Magna Steyr. Sedikit maklumat yang diberi ialah platform tersebut berasal daripada jenama premium.

Seramai 400 jurutera firma itu terlibat dalam pembangunan platform baharu untuk dua model tersebut. Firma dari Austria itu terlibat dalam integrasi sistem kenderaan, ECU terkini dari Bosch dan binaan elektrik dan elektronik.

Diasaskan dari paten yang dilesenkan dan kepakaran, platform baharu tersebut banyak menggunakan aluminium dan besi ultra-high strength.

Sebanyak 300 kereta prototaip diuji di Vietnam dan Eropah untuk projek ini. Penggunaan platform ini juga membolehkan ia memenuhi piawaian dan undang-undang serta teknologi akan datang.

Nadi kuasa

Proses pembangunan enjin dilakukan oleh pakar nadi kuasa kejuruteraan iaitu AVL dari Austria. Sama seperti platform, enjin ini daripada program pelesenan.

Enjin yang digunakan bersesaran 2.0 liter turbo dengan dua jenis kuasa iaitu 174 hp dan 228 hp. Transmisi ialah daripada ZF lapan kelajuan automatik.

Kompleks kilang canggih

Kompleks pengeluaran dengan keluasan 335 hektar sudah hampir siap dan menariknya terletak di atas laut yang ditambak. Lokasinya juga strategik iaitu berdekatan pelabuhan Hai Phong di utara Vietnam.

Di antara pembekal bagi kilang ini ialah FFT, EBZ, Dürr, GROB, Thyssenkrupp, AVL, MAG, Eisenmann dan Hirotec. Terdapat lebih daripada 1,200 robot daripada ABB.

Selain itu beberapa vendor terkenal sudah pun komited untuk membuka kilang seperti ZF Group, Jerman, Lear Corporation, AS dan AAPICO, Thailand.

VinFast juga akan berkerjasama dengan Eckhert Schulen untuk melatih 200 aprentis setiap tahun. Dengan kursus dalam bidang mekanik industri dan mekatronik mengikut piawaian Jerman setiap graduan akan menerima pensijilan daripada Dewan Perniagaan dan Industri Jerman.

BACA: VinFast – INILAH 2 MODEL KERETA NASIONAL PERTAMA VIETNAM

Google ads
Back to top button