Advertisements
Buletin

HONDA E-CLUTCH, BANTUAN CEKAM BAHARU UNTUK MOTOSIKAL HONDA

Teknologi bantuan dan gelinciran cekam sekarang ini sudah diturunkan kepada motosikal dengan enjin sesaran kecil. 

Jika tidak ditawarkan secara rasmi dan bergantung kepada model anda boleh mendapatkannya dari jenama luar.

Ini pula berita terbaru dari Honda yang memperkenalkan Honda E-Clutch untuk motosikal dan khabarnya sistem kawalan cekam automatik pertama di dunia untuk transmisi motosikal manual pelbagai gear.

Sistem itu melancarkan mula pandu dan tidak memerlukan penunggang menarik tuil cekam apabila menukar gear atau berhenti. Operasi tersebut dilakukan menggunakan teknologi kawalan elektronik.

Walaupun begitu, penunggang masih boleh menggunakan cara biasa dengan menarik tuil cekam dan memberi peluang untuk menikmati teknik tukaran gear yang sudah berusia puluhan tahun.

Honda belum berkongsi maklumat terperinci mengenainya dan satu yang menarik ialah sistem yang ringan dan kompak itu boleh dipasang pada enjin sedia ada tanpa perubahan besar.

Honda sinonim dengan teknologi gear sebagai contoh transmisi dua klac (DCT) yang digunakan pada X-ADV, NC750X, Gold Wing dan pelbagai lagi.

Honda E-Clutch pula berbeza kerana tidak melibatkan keseluruhan transmisi dan dibuat khusus untuk transmisi manual.

Satu kelebihan Honda E-Clutch ialah tunggangan menjadi lebih lancar dan selamat dengan penunggang boleh menumpukan perhatian pada jalan raya atau urusan tunggangan lain.

Honda E-Clutch bakal digunakan pada motosikal gaya hidup dan Honda belum menyenaraikan model khusus.

Google ads
Back to top button