Buletin

BENELLI PANAREA 125, GAYAAN KLASIK DENGAN TEKNOLOGI MODEN. BERMULA RM6.9K SAHAJA

Benelli baru-baru ini memperkenalkan skuter Panarea 125 yang menampilkan gayaan klasik. Dari segi reka bentuk, Panarea 125 kelihatan sesuai untuk menyusuri jalan di bandar ataupun desa.

Walaupun memiliki unsur retro, skuter itu dibina dengan kejuruteraan moden yang menitikberatkan keperluan gaya hidup seharian penunggang.

Penggunaan lampu LED di hadapan dan belakang menjelaskan lagi reka bentuk Panarea. Tidak ketinggalan penggunaan cermin sisi bulat yang elegan, mengekalkan rupa klasik daripada kilang.

Panarea juga mengekalkan speedometer analog, tetapi diperincikan lagi dengan paparan digital pelbagai fungsi yang mengandungi maklumat diperlukan penunggang.

Tarikan utama Benelli Panarea 125 ialah sistem kunci magnetik anti-kecurian yang dapat meningkatkan keselamatannya.

Roda bersaiz 12-inci dibalut dengan tayar 100/90-12 (hadapan) dan belakang 110/90-12 disesuaikan untuk menyerlahkan ciri klasik pada Benelli Panarea 125. Ia turut dilengkapi brek cakera 190mm di hadapan.

Skuter itu dikuasakan oleh enjin pancitan bahan api elektronik 124cc 4-lejang dengan janaan kuasa 8.44hp pada 7,500rpm dan tork 9.2Nm pada 6,000rpm.  Dengan tangki bahan api 4.6 liter, penunggang boleh menikmati perjalanan tanpa rasa terganggu.

Tunggangan yang lancar pada skuter ini ditawarkan oleh transmisi automatik CVT, selain suspensi depan dan belakang teleskopik.

Benelli Panarea 125 kini boleh didapati di mana-mana pengedar premium Mforce Best Shop dan SmartShop di seluruh Malaysia pada harga asas, RM6,888 tidak termasuk insurans serta cukai jalan. Untuk pasaran Malaysia, ia tersedia dengan pilihan warna hitam, kuning, merah dan putih.

Dengan pembelian motosikal ini, anda boleh menikmati waranti pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan sejauh 20,000km (mana-mana dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti dalam talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

GALERI:

Google ads
Back to top button