Buletin

HYUNDAI RANCANG PANDU UJI KERETA TERBANG DI IBU KOTA BAHARU INDONESIA, NUSANTARA TAHUN 2024

Otorita Ibu Kota Negara (OIKN) dan Hyundai Motor Group telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membina ekosistem mobiliti pintar Advanced Air Mobility (AAM) di Indonesia.

Hasil kesepakatan itu, OIKN Nusantara mengumumkan bahawa Hyundai akan menjalankan sesi pandu uji kereta terbang di Ibu Kota Negara Nusantara pada tahun 2024.

“Pada masa ini, Hyundai sedang menjalankan penyelidikan mengenai kereta autonomi kerana banyak aspek perlu diambil kira, lebih-lebih lagi kerana Indonesia belum mempunyai peraturan atau polisi mengenainya.” kata Pengurus Bahagian Pemasaran Hyundai Indonesia, Astrid Ariani Wijana.

Timbalan Transformasi Hijau dan Digital Otorita IKN, Mohammed Ali memberitahu kerjasama ini adalah untuk membangunkan kereta terbang Hyundai pertama di Indonesia. Kewujudan kereta terbang pada masa hadapan akan memudahkan untuk ke kawasan bukit yang sukar dicapai melalui jalan darat.

Oleh itu, Ali berharap Indonesia akan menjadi penggerak utama dalam pembangunan kereta terbang pada masa hadapan. Dalam mencapai kemajuan tersebut, OIKN bakal membina sebuah bandar menjelang tahun 2045 supaya teknologi yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan rakyat.

OIKN turut merancang membangunkan teknologi untuk digunakan pada tahun 2035, termasuklah membina kereta terbang. “Untuk membayangkan kereta terbang hari ini mungkin agak mengelirukan, tetapi persepsi itu boleh berubah pada 2035,” kata Ali.

Google ads
Back to top button