RADICAL SR1 XXR, KERETA LUMBA ARAS MULA, ENJIN 1340CC!
Jika sudah minat, banyak jenis kenderaan yang boleh digunakan untuk berlumba di litar. Di antaranya kereta lumba dua tempat duduk SR1 yang dikeluarkan Radical Motorsport dari United Kingdom.
Radical mempunyai beberapa buah model dan SR1 dibuat khusus sebagai kereta lumba aras mula.
SR1 diperkenalkan pada 2012 dan untuk 2023, Radical menawarkan versi XXR dan selari dengan dua lagi model iaitu XXR SR3 dan XXR SR10.
Perubahan yang dibuat kali ini paling besar dibuat untuk SR1 dalam tempoh enam tahun. Sejak 2012, SR1 menjadi pilihan ratusan pelumba sebelum berhijrah ke kereta yang lebih ekstrem.
Berbeza dengan SR3 dan SR10 yang menggunakan tayar slick (perlumbaan) penuh, SR1 dibekalkan tayar separa slick.
Sejak SR1 diperkenalkan, Radical Motorsport berjaya mengembangkan perlumbaan global sehingga 12 siri dan lambang kepada kepentingan dan populariti model itu.
SR1 XXR dilengkapi pakej reka bentuk dan naik taraf kejuruteraan yang turut dipengaruhi SR3 XXR yang diperkenalkan sebelum ini.
Di antara komponen yang mudah dilihat dan memberi faedah dari segi aerodinamik ialah sirip tengah ala kereta lumba LMP.
Untuk SR1 edisi terbaru, Radical memfokuskan kepada kemudahan penggunaan dan kelasakan.
Jentera lumba ini dibekalkan enjin baharu 1340cc Generation 5, empat silinder, 16 injap dan sejukan cecair dengan fokus pada kecekapan, kelasakan dan ketahanan.
Radical Performance Engines (RPE) meningkatkan saranan selang masa penyegaran enjin sebanyak 25 peratus dan membolehkan pemandu menikmati lebih masa di litar.
Faedah itu turut disumbang tempoh pemanasan yang lebih singkat dan juga penambahbaikan pada sistem pengurusan haba.
Lagi faedah signifikan ialah peluang untuk masa pusingan lebih pantas, berprestasi dan lama. Selain itu tempoh selang masa penukaran minyak dinaikkan dari enam jam kepada sepuluh jam.
Untuk ketahanan, penambahbaikan melibatkan sensor kedudukan gear luar pada kotak gear dan pam hapus sisa (scavenge pump) rekaan baharu dengan aliran dipertingkatkan untuk sistem peminyakan.
Enjin kereta diperbaharui dan kotak gear dikalibrasi dan kadar aliran kepala silinder ditambah baik. Berat komponen seperti rod penyambung, pin aci engkol dan sistem pencucuh dikurangkan.
Lagi komponen yang disentuh ialah takungan kering, sistem pencucuhan coil-on plug yang ditambah baik dan sistem aruhan (induction) drive-by-wire baharu.
Pakej penambahbaikan dan pembaharuan menyumbang kepada respon enjin dan kelancaran pecutan yang lebih baik tanpa mengorbankan ketahanan.
SR1 XXR sudah boleh dipesan melalui lebih 30 pengedar di lebih 20 buah negara dan pengeluaran dijadual bermula tidak lama lagi.
BACA: RADICAL MOTORSPORT SR10 XXR – 2.3L TURBO 425 BHP UNTUK BERLUMBA!
BACA: FERRARI AKHIRNYA BIKIN CROSSOVER PUROSANGUE, NADI V12 725 PS
BACA: 10 SUPERCAR ITALI YANG EKSOTIK, DIHASILKAN DALAM BILANGAN TERHAD.
BACA: DELOREAN ALPHA5. PINTU GULLWING, 483KM SEKALI CAJ, 0-100KM/J CUMA 3.4 SAAT