EJEN KASTAM BERPUTIH MATA – YAMAHA Y15ZR BERHARGA RM3K, RUPANYA SCAM
Gara-gara iklan jualan lelong motosikal di Facebook, seorang ejen kastam terpaksa menanggung kerugian RM3,000 akibat sindiket penipuan.
Mangsa, Kamalul, 48, tertarik dengan tawaran motosikal jenis Yamaha Y15ZR 2020 yang dijual pada harga serendah RM3,000.
“Sekitar tengah hari itu, saya terlihat di FB ada tawaran jualan lelong motosikal murah. Apabila tekan gambar motosikal yang tertera, ia terus bawa ke pautan satu kumpulan Telegram, Fast Lelong.
“Saya terus WhatsApp secara peribadi dengan admin (pihak pengurusan platform) bertanyakan sama ada motosikal itu masih ada? Dia kata ada lagi dan harganya RM3,000. Sekiranya mahu, segera buat bayaran menerusi nombor akaun diberikan,” Cerita Kamalul.
Jelasnya lagi, pengendali mengarahkannya untuk memberikan butiran diri termasuk nama penuh serta alamat bagi urusan geran motosikal lengkap tukar nama.
“Tanpa berfikir panjang, saya menuruti segala arahan kerana bimbang motosikal idaman disambar pembeli lain,”
Walau bagaimanapun, Kamalul mula curiga selepas melakukan transaksi RM3,000.
“Tidak lama kemudian pengendali berkenaan meminta saya melakukan pemindahan RM3,000 lagi untuk urusan serta proses pelelongan,” katanya.
“Saya hanya merespon ‘saya mana ada duit nak bagi lagi’.
“Dia (pihak pengurusan platform) cakap, cubalah cari di mana-mana, pinjam kawan ke,”
Oleh kerana kebetulan berada di sebuah restoran berhampiran Balai Polis Pinggiran USJ, Kamalul segera ke balai polis berkenaan.
“Anggota polis berkata sudah banyak kali polis memberi nasihat supaya berhati-hati dengan penipuan dalam talian, dan ingatan itu selalu diuar-uarkan di media massa.
“Tetapi ada lagi mangsa seperti saya kena tipu dengan modus operandi hampir sama kononnya dapat untung harga murah…mana ada Y15ZR berharga RM3,000.”
Kamalul bagaimanapun enggan membuat laporan polis secara rasmi kerana bimbang akan mengganggu urusan hariannya hingga terpaksa berurusan dengan mahkamah. – Harian Metro