Buletin

RANGE ROVER SPORT PLUG IN HYBRID, BOLEH MASUK AIR TIDAK NI?

Kegilaaan kuasa enjin nampaknya bukan sahaja sudah sebati dengan pengeluar kereta sport tetapi juga sudah terjebak secara serius ke dalam segmen SUV premium. Memandu SUV dengan modifikasi berat dan berkuasa tinggi bukanlah suatu yang janggal sekarang ini.

Semakin ramai yang mengiktiraf SUV besar sebagai objek mewah malah siap berkonvoi dengan Lamborghini, Ferrari, Nissan GTR mahu pun Bugatti Chiron.

Pengeluar pula seakan faham dengan trend ini dan semakin galak memasarkan SUV berkuasa tinggi. Dan berkuasa elektrik. Iya, enjin pembakaran dalaman yang saiznya macam bergurau iaitu 2.0 liter dan digabungkan motor elektrik seperti Volvo XC 90 T8 Twin Engine.

Buat mereka yang tidak mahukan sebuah SUV buatan Sweden atau Jerman, ini tawaran terbaru dari Britain. Range Rover Sport P400e. Panjang sikit nama sebab ia merujuk kepada teknologi plug-in hybrid (PHEV).

Range Rover Sports P400e ini diberi penghormatan sebagai kenderaan pertama dalam barisan jenama Jaguar Land Rover dengan teknologi plug-in hybrid. Ia adalah permulaan kepada misi Jaguar dan Land Rover yang mahu menawarkan pilihan elektrifikasi pada kesemua model baharu bermula 2020. 

Di atas kertas memang nampak sesaran enjinnya macam lemah dan tidak bermaya (Volvo XC90 pun sama) tetapi ia menggunakan enjin turbo 2.0 Ingenium petrol yang digabungkan dengan motor elektrik. Enjin petrol itu sahaja berkuasa 300 hp (221kW) manakala motor elektrik pula berkuasa 85kW. 

Apabila kedua-dua nadi kuasa dipadankan output meningkat kepada 404hp (297kW) dengan tork gagah perkasa 640Nm. Kuasa pecutan dari kosong hingga 100 km/j mengambil masa 6.7 saat dengan kelajuan maksimum 220.48 km/j. SUV ini juga mampu bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 51 km. 

Selain itu, Range Rover Sports P400e mempunyai dua mod pemanduan seperti di bawah:

  1. Parallel Hybrid mode (tetapan standard) – kombinasi janaan petrol dan elektrik. Pemandu boleh mengoptimumkan caj bateri dan penjimatan minyak melalui dua fungsi berikut:
    • Fungsi SAVE – menghalang caj bateri jatuh ke paras tetapan yang dipilih
    • Fungsi Predictive Energy Optimisation (PEO) – Masukkan destinasi ke dalam sistem navigasi dan dari situ dengan data GPS, sistem kereta akan menukar di antara motor elektrik dan enjin petrol bagi memaksimumkan penggunaan minyak apabila melalui kawasan mendaki sepanjang perjalanan
  2. Mod EV (Electric Vehicle) – Mod ini membolehkan SUV dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya dibekalkan oleh tenaga yang disimpan pada bateri

Berikut pula ialah maklumat tentang kuasa elektrik SUV ini:

  • Motor elektrik dikuasakan oleh bateri voltan tinggi lithium-ion 13.1kWh berbentuk prisma yang disimpan di bawah lantai belakang
  • Motor elektrik berkuasa 85kW diletakkan pada bahagian transmisi di tengah SUV
  • Poin untuk kabel pengecas diletakkan di bahagian depan SUV
  • Dengan pengecas pantas, caj penuh bateri hanya mengambil masa 2 jam 45 minit sahaja menggunakan sambungan khas 32amp pada dinding
  • Dengan menggunakan kabel standard dan sambungan 10 amp, bateri dicas sepenuhnya dalam masa 7 jam 30 minit

Terdapat tiga varian Range Rover Sport P400e PHEV iaitu HSE yang berharga GBP 70,800.00 (RM 396,661), HSE Dynamic GBP 73,800.00 (RM 413,469.08) dan paling mewah iaitu Autobiography Dynamic GBP 84,400.00 (RM 472,923).

SUV mewah dan mesra alam ini akan mula dipasarkan di UK bermula tahun depan dan biasanya selepas beberapa ketika akan dibawa masuk ke pasaran tempatan secara tidak rasmi oleh pengimport bebas.

Mungkin juga dibawa masuk secara rasmi memandangkan Volvo XC90 dan BMW X5 Hybrid ditawarkan pada harga yang sangat menarik hasil daripada insentif EEV. Harga seperti yang dinyatakan di atas boleh mungkin boleh digunakan sebagai indikator harga tempatan.

Murah untuk sebuah Range Rover.

BACA: INI RANGE ROVER SPORT KHAS DARI CLIVE SUTTON – HARGA DARI RM 441K!

BACA: RANGE ROVER TERPANTAS

Google ads
Back to top button