Artikel Pilihan

RAYA BERGAYA DENGAN KERETA LAMA

Memang rasa berbunga rasa hati kalau dapat menyambut Hari Raya bersama dengan kereta baru, tambahan pula kalau kereta tersebut merupakan model terkini yang mempunyai waktu menunggu yang panjang. Perasaan gembira akan bertambah-tambah sekiranya kereta tersebut menjadi topik bawangan saudara mara yang datang beraya ke rumah. Nak beraya di rumah bakal mertua pun rasa hilang berdebar

Tak dapat dinafikan musim perayaan di Malaysia, banyak syarikat pengeluar memberikan diskaun harga yang boleh menyebabkan kita hilang pertimbangan dan hilang pedoman. Faedah pinjaman murah, tawaran luar biasa yang muntah biawak dan pelbagai pakej dan hadiah percuma yang diberikan bakal membuatkan kita rambang mata. Tapi ingat, tahun depan silap haribulan bajet raya mesti terjejas. Di saat orang lain sibuk dengan baju baru, kita sibuk memperbaharui cukai jalan kereta kesanyangan. Mesti tak berapa seronok kan.

Melainkan keperluan mendesak, saya sebenarnya kurang menggemari idea membeli kereta semata-mata diskaun perayaan dan perasaan bangga ketika memandu kereta baru hanya seketika atau paling kurang selama sebulan. Paling tidak 5 tahun kita perlu membayar ansuran bulanan kereta tersebut

Saya senaraikan beberapa langkah atau idea bagi menyolek kereta lama sempena musim perayaan. Bagi saya, idea ini lebih ekonomikal dan menyebabkan kereta saya sentiasa kelihatan baru dan “feel” seperti baru keluar dari kedai.

1. Tukar minyak pelincir enjin dan minyak kotak gear jika sudah sampai waktu – Apabila musim balik kampung secara besar – besaran bermula, salah satu aspek penyelenggaraan kenderaan yang perlu diambil berat ialah minyak enjin sendiri. Sela masa penukaran minyak enjin telah ditetapkan oleh pengeluar samaada 5000km , 7000km atau 10,000km. Malah ada pengeluar kenderaan kontinental yang mengesyorkan sela masa servis dibuat pada jarak 15,000km.

Menjadi tabiat orang Malaysia untuk melakukan servis kenderaan sehari sebelum atau kadang-kala sebelum takbir raya. Tapi disebabkan jadual tempahan yang telah penuh, pusat service terpaksa menolak atau menukar jadual service selepas perjalanan balik kampung

Sekiranya kenderaan anda telah melangkaui sela masa service dan beranggapan “ok” dan tidak perlu service kereta, cuba kita nilaikan fungsi sebenar minyak enjin sangat kritikal. Enjin adalah mekanikal part yang sentiasa bergerak. Fungsi minyak tadi ialah melincirkan pergerakan piston, camshaft, rocker arm, timing chain sprocket, crankshaft dan 1001 bahagian mekanikal yang sentiasa bergerak bergerak semasa enjin beroperasi.

Bagi enjin turbo, minyak pelincir membantu melincirkan pergerakan turbo pin up to 90,000 putaran per minit. Bagi enjin VVTi dan dual VVTi minyak enjin merupakan sebahagian elemen dalam sistem bagi membantu sistem “retard” atau “advance” semasa kitaran enjin. Bagi enjin i-VTEC pula, minyak enjin adalah salah satu elemen dalam sistem pin untuk mengaktifkan mekanisme  VTEC.

Oleh kerana enjin beroperasi dengan pembakaran petrol atau diesel, akan ada haba yang wujud di kebuk pembakaran. Haba yang berlebihanperlu dikawal agar tidak berlaku masalah “knocking”. Minyak enjin menyejukkan bahagian2 enjin dengan membawa haba keluar dari sistem. Bagi sistem turbo, suhu setinggi 900°C boleh terhasil di bahagian turbine dan disejukkan oleh minyak pelincir.

Besi tuang adalah elemen dalam enjin dan minyak enjin mampu menghalang enjin dari berkarat. Hasil pembakaran bahanapi petrol atau diesel akan menghasilkan enapcemar (sludge) dalam enjin. Minyak enjin membersihkan enjin dari sludge dari permukaan enjin

Apabila digunakan, suhu yang tinggi, sludge, karat, dan kadangkala hasil pembakaran turut mengluarkan asid di dalam enjin akan diserap ke dalam minyak enjin. Sekiranya terlalu tercemar, maka fungsi-fungsi di atas tidak mampu dilaksanakan dengan baik dan jangka hayat enjin akan terjejas.

Salah satu cara untuk mengetahui minyak betul2 tercemar adalah dengan menjalankan analisis kimia terhadap sampel minyak. Namun kaedah ini tidak praktikal dan kos tinggi. Kaedah lain ialah tukar sahaja minyak hitam mengikut sela masa 5000km, 7000km atau 10000km yang telah ditetapkan.

Bayangkan kalau kita mendera enjin dengan menggunakan minyak yang dah basi, meredah kesesakan balik kampung beratus2 kilometer dalam keadaan panas, memecut melebihi 120 km/h dengan RPM yang tinggi, meredah jalan berbukit sambil memotong lori2 ayam (nak raya kan) dengan gear 3 atau overdrive atau sport mode dan jarum RPM mencecah 4000-6000. Sudah pasti kita tidak mau perjalan terkandas di tengah hutan di tengah malam.

Minta mekanik anda untuk memeriksa keadaan cecair hidraulik kotak gear automatik (CVT ataupun kotak gear automatik) dan juga keadaan cecair penyejuk radiator semasa servis.

Kos servis adalah bergantung pada pilihan minyak pelincir samaada mineral, semi sintetik ataupun sintetik penuh. Harga penapis minyak pelincir sekitar RM10-30 bergantung pada jenama manakala kos upah sekitar RM 10-RM20. Pandai sembang dapat kos upah percuma.

2. Saya mencadangkan agar pembaca membuat cucian luar dan juga polish. Sesetengah tempat basuh kereta akan menyediakan pakej cucian luaran yang akan meliputi cucian dengan bahan kimia bagi menanggalkan kesan degil, diikuti dengan cucian sabun biasa dan diakhiri dengan proses mengilap. Proses mengilap ini dibuat dengan sejenis bahan kimia yang bersifat “abrasive” atau mngakis kotoran. Bahan kimia ini tidaklah berbahaya kerana ubat gigi anda yang mengandungi florida juga bersifat “abrasive”.

Jika dilakukan dengan teliti, ia akan menanggalkan semua kotoran degil yang ada pada permukaan cat, menanggalkan kesan calar dan mengembalikan warna asal cat kereta agar ia kelihatan berseri-seri di pagi raya. Kos membuat cucian dan polish ini adalah sekitar RM 80 untuk kereta kompak kecil dan menjangkau ke RM200 untuk MPV atau SUV besar.

3. Seterusnya pembaca boleh menghantar kereta untuk proses cucian kusyen, kemasan fabrik pada pintu dan juga kemasan fabrik pada bumbung (roof liner). Kos untuk mencuci kusyen ini bermula sekitar RM80 bagi model kereta kompak, sekitar rm 40 untuk mencuci kemasan fabrik pada bumbung kereta dan sekitar RM 50- RM 100 untuk kemasan karpet lantai.

Proses cucian ini biasanya menggunakan bahan pencuci khas dan juga peralatan khas yang digunakan untuk mencuci kusyen. Proses dimulakan dengan menyembur pencuci pada permukaan kusyen diikuti dengan alat khas yang akan menyedut bahan pencuci bersama-sama dengan kotoran yang ada pada fabrik. Ia sangat berkesan bagi menanggalkan kesan bekas minuman atau susu yang tertumpah dan habuk yang terperangkap dalam fabrik meninggalkan kusyen yang bersih dan wangi.

4. Bagi kereta yang sudah lama digunakan, satu rungutan yang selalu saya dengar ialah kuasa enjin semakin lemah, respon terasa lembap dan penggunaan petrol yang tinggi. Jadi saya cadangkan pembaca untuk memeriksa keadaan “throttle body” dan juga penapis udara. Jika keadaan kedua-dua komponen ini semakin teruk, maka “throttle body” perlu diservis untuk membuang kotoran karbon yang terhasil manakala penapis udara boleh dicuci atau ditukar terus bergantung pada keadaan.

Apabila penapis udara tersumbat dan juga “throttle body” menjadi kotor, jumlah isipadu udara yang akan sampai ke enjin akan berkurang dengan drastik. Apabila isipadu udara yang sampai berkurang, “volumetric efficiency” akan berkurang dan kuasa yang dihasilkan oleh enjin akan terjejas. Kos untuk menukar penapis enjin adalah sekitar RM 10 – RM 30 bergantung pada jenama dan juga kualiti. Manakala kos untuk mencuci “throttle body” adalah sekitar RM100-RM150 bergantung pada jenis kenderaan.

5. Ini ada satu aksesori tambahan yang saya letak iaitu “injector cleaner”. Biasanya ada dijual oleh pusat servis Perodua, Honda dan juga Toyota. Bagi enjin yang menggunakan sistem dual VVTi atau menggunakan mekanisma EGR, akan wujud fenomena di mana molekul karbon dari bahan api akan mendap di bahagian injap kemasukan dan juga injap ekzos. Lama kelamaan pembentukan mendapan karbon ini akan menghalang proses kemasukan udara dan menghalang proses asap ekzos keluar dari silinder. Keadaan ini akan menyebabkan “volumetric efficiency” enjin akan berkurang. Cara menggunakan “injector cleaner” ini ialah dengan menuang sebotol penuh ke dalam tangki bahan api dan isi semula bahan api sehingga penuh. Kos sebotol “injector cleaner” adalah sekitar RM 15-RM 45 bergantung pada jenama.

6. Tukar minyak brek dan “bleeding” semula sistem brake biasa akan dibuat jika sudah tiba waktu yang ditetapkan oleh pengeluar. Ya simpan dan rujuk buku panduan yang disediakan oleh pengeluar bukannya merujuk pada ciapan generasi WeChat, blog ikan dan juga blok pensel warna Luna. Sebagai contoh kereta ini sudah mencecah perbatuan 120,000km dan kalau mengikut cadangan buku servis, minyak brek perlu ditukar dan sistem brek perlu diperiksa oleh mekanik bertauliah .

Kereta ni menggunakan minyak brek DOT 4 yang berwarna jernih dan jika dibandingkan minyak brek dalam gambar ni sudah berwarna gelap. Lembapan dan haba semasa proses membrek adalah faktor utama yang menyebabkan minyak brek berubah menjadi gelap, teroksida dan menyimpan lembapan. Jika proses brek dilakukan pada suhu yang tinggi, kandungan air dalam sistem brek akan menjadi wap dan menyebabkan fenomena “spongy” berlaku ataupun “brake fade” terjadi.

7. Semasa servis, boleh minta mekanik untuk memeriksa keadaan pad brek jika anda dapai kuasa pemberhentian kereta menjadi kurang ataupun ada bunyi nyaringyang terhasil semasa pedal brek ditekan. Macam dalam gambar ini, pad brek lama di sebelah kanan dan pad brek baru berada di sebelah kiri. kalau diperhatikan secara kasar ketebalan pad brek lama sudah tinggal kurang dari separuh letebalan pad brek baru. Kos tukar baru Rm 150 sepasang termasuk kos upah.

8. Penapis penyaman udara atau “cabin filter” biasa dipasang pada komponen “cooling coil” penyaman udara. Fungsi penapis ini ialah untuk menapis partikel habuk yang ada dalam kabin daripada mengotori sistem penyaman udara. Kalau penapis habuk ini sudah kotor, pengaliran udara dari corong penyaman udara akan menjadi perlahan. Lagi menyakitkan kalau sangkut dalam jem pada waktu tengah hari. Proses penukaran penapis habuk ini adalah senang dan harga penapis baru sekitar RM 20-RM 90 bergantung pada jenama.

9. Oh ya, semua teknologi enjin dan cesi menjadi tidak berguna sekiranya ia tidak sampai pada permukaan jalan dengan sempurna. Acapkali penulis terlihat kereta yang dipandu oleh pemilik dengan membawa bayi memiliki tayar yang sudah haus dan hampir botak. Tayar akan menyediakan “contact patch” pada permukaan jalan agar kereta boleh memindahkan kuasa pecutan, membelok dan membrek supaya kereta dapat dipandu dengan selamat.

Jika anda tidak mampu menukar semua empat tayar sekaligus maka menukar 2 unit tayar adalah pilihan yang lebih baik berbanding terus menggunakan tayar lama yang tidak selamat. Terdapat banyak pilihan tayar dari tayar berjenama prestasi tinggi sehingga tayar jenama yang kurang popular tapi dengan harga yang lebih mampu milik. Pada pendapat penulis jika kereta anda menggunakan pacuan depan, adalah lebih baik roda depan dipasang dengan tayar baru kerana roda depan berfungsi untuk memecut, membrek dan menukar arah kereta.

10. Wiper atau pengelap cermin hadapan adalah komponen kereta yang selalu diabaikan sewaktu memandu dan hanya digunakan sewaktu hari hujan. Sesetengah pemandu tidak pernah menukar pengelap cermin hadapan walupun sudah beberapa tahun membeli kereta tersebut. Anggapan mereka pengelap cermin hadapan tahan untuk 1000 tahun.

Cuaca panas dan lembap, terdedah pada cahaya matahari, dan sinar Ultraviolet akan menyebabkan pengelap cermin depan akan menjadi lusuh dan keras. Pengelap cermin ini diperbuat daripada getah sama seperti tayar kereta dan sampai satu ketika ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Pemandu yang sangat handal sekalipun pasti tidak dapat memandu dengan baik jika cermin depan dipenuhi dengan air. Untuk menjimatkan kos, pengelap cermin hadapan boleh dibeli di kedai menjual komponen kenderaan (kedai spare part).

11. Akhir sekali, selain daripada memastikan lampu isyarat anda berfungsi dengan baik pastikan juga lampu hadapan “headlamp” dan juga lampu kabus menyala dengan terang dan berfungsi dengan cemerlang. Penulis amat pasti pemandu akan memandu jauh pada waktu malam dan amat memerlukan pencahayaan yang baik kerana mata akan menjadi cepat letih jika memandu dengan lampu malap. Pilihan utama penulis ialah Osram Night Breaker yang senang dipasang dan juga menyediakan pencahayaan yang cukup baik tanpa menyebabkan silau pada kereta yang bertentangan.

Pembaca tidak perlu mengikuti kesemua cadangan yang ditulis disini tetapi buatlah sekadar yang perlu agar selamat sampai ke kampung halaman dengan selamat. Pandu cermat, jiwa selamat.

Google ads
Back to top button