REBIU: SAMSUNG GALAXY S9+ – BUATKAN ANDA KEKAL HENSEM WALAUPUN DI DALAM GELAP
Sebagai antara pengeluar telefon pintar paling berpengaruh di dunia, Samsung cuba sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan semua pelanggannya dari setiap peringkat umur dan latar belakang.
Sebab itulah produknya dibahagikan kepada beberapa kategori. Jika anda mempunyai bajet kecil, pilih sahaja Galaxy J. Untuk yang berbajet sederhana, ada Galaxy A. Manakala bagi mereka yang tidak kisah berbelanja besar, Samsung menawarkan rangkaian telefon pintar flagship iaitu Galaxy Note dan Galaxy S.
Buat masa sekarang, Samsung menawarkan empat model di bawah kategori Galaxy S iaitu Galaxy S9, Galaxy S9+, Galaxy S8 dan Galaxy S8+.
Baru-baru ini saya berpeluang menggunakan model terbaharu Samsung Galaxy S9+ selama hampir sebulan. Untuk makluman, Galaxy S9+ didatangkan dalam tiga kapasiti mememori berbeza iaitu 64GB, 128Gb dan 256GB.
Dari segi warna pula, pada awalnya ia hadir dalam tiga warna – hitam, biru dan ungu. Sebelum ditambah dengan dua warna baru iaitu merah dan emas pada pertengahan Mei lalu.
Sebenarnya, telefon pintar Samsung tidaklah begitu asing. Ia menjadi telefon Android pertama saya selepas beralih daripada peranti iOS kira-kira enam tahun lepas. Ketika itu, Samsung Note 2 menjadi pilihan.
Kualiti buatan premium
Sebaik sahaja memegang telefon pintar ini, anda akan perasan tentang kualiti buatannya yang cukup tinggi dan mengagumkan. Berbanding model A7 yang sedang saya gunakan sekarang, S9+ yang bersaiz 6.2 inci itu sedikit ramping dan sedap dipegang.
Rasa premium diserlahkan lagi dengan skrin lengkung yang membolehkan anda membuka aplikasi kegemaran dengan lebih mudah dan pantas. Bagi yang pertama kali menggunakannya, ia mungkin terasa sedikit janggal.
Unit yang saya terima ini berwarna hitam dengan kapasiti memori 128GB. Memori yang lebih daripada cukup untuk merakam gambar dan video beresolusi tinggi. Paparan Super AMOLED Infinity menjanjikan kualiti skrin yang jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Satu perkara yang saya perasan ialah material untuk bahagian luar S9+ ini cukup licin dan risiko untuk ia terjatuh agak tinggi. Jadi, saya cadangkan supaya anda mendapatkan cover bagi memastikan kejadian tidak diingini dapat dielakkan.
Sebagai sebuah telefon pintar flagshp, S9+ dilengkapi ciri tahan air dan habuk IP68. Bagi saya yang memang hampir setiap hari menunggang motosikal, hujan tidak lagi memerlukan saya menyimpan telefon ke dalam beg sebelum meneruskan perjalanan.
Ciri-ciri AR Emoji, Super Slow-mo dan Bixby yang pintar
Sebagai pengguna Samsung A7 sekarang, saya tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan Samsung S9+ yang dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan pada Februari 2018.
Biarpun reka bentuknya tidak jauh berbeza dengan S8+, namun ia dilengkapi pelbagai ciri baharu yang membezakannya dengan telefon pintar flagship lain. Ciri-ciri seperti AR Emoji, Super Slow-mo dan Super Low-light diinspirasikan daripada cara pengguna berkomunikasi dalam landskap media sosial.
Bagi mereka yang lebih suka menggunakan emoji, video dan imej berbanding teks, S9+ memang sesuai untuk anda. Samsung membangunkan semua ciri ini untuk membawakan komunikasi visual ke satu tahap baru.
AR Emoji membolehkan pengguna menghasilkan sendiri emoji yang nampak dan bertindak seperti diri anda sendiri. Comel betul.
Secara peribadinya, saya sukakan ciri Super Slow-mo yang berupaya merakamkan vieo pada kelajuan 960 bingkai per saat. Pastikan subjek yang dirakam itu menarik kerana anda pasti kagum dengan hasilnya.
Sekarang dengan adanya Bixby dalam S9+, kita tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari apa jua maklumat yang diingini. Diintegrasikan dengan kamera, Bixby berupaya menterjemah bahasa asing, menukar nilai mata wang menerusi imej dan bermacam-macam info lagi.
Kualiti kamera terbaik dan Super Low-light
Sebagaimana sedia maklum, kamera merupakan satu ciri penting bagi setiap telefon pintar. Penggunaan meluas kamera membuatkan semua pengeluar telefon pintar berlumba-lumba untuk menawarkan imej berkualti tinggi kepada pengguna.
Sensor Super Speed Dual Pixel dab DxOmark memastikan foto anda sentiasa cantik. Kamera apertur berkembar 12MP (f1.5/f2.4) menjanjikan foto yang kurang noise, walaupun anda merakamnya di kawasan yang kurang cahaya.
Pendek kata, orang yang tak berapa cantik dalam gelap pun boleh jadi begitu menawan apabila dirakam dengan S9+. Ditambah pula dengan mode Live Focus yang membolehkan foto potret dirakam seperti menggunakan kamera profesional.
3 pilihan pengesahan biometrik
Sama ada sedar atau tidak, telefon pintar seakan ‘nyawa’ kita kerana semua data penting disimpan di dalamnya. Namun begitu, tidak perlu bimbang kerana S9+ dilindungi oleh platform keselamatan Knox 3.1 dan Intelligent Scan.
Sistem imbasan itu membolehkan anda memilih tiga pengesahan biometrik iaitu iris mata, cap jari dan pengecaman wajah.
Bateri tidak setahan A8+
Sebagai individu yang sangat bergantung kepada telefon pintar untuk melaksanakan tugasan harian, saya dapati ketahanan bateri S9+ tidaklah sebagus model lebih murah, A8+.
Perbandingan itu boleh dibuat kerana kebetulan saya juga diberi model A8+ untuk direbiu. Jadi, perbezaan ketara di antara kedua-dua telefon ini adalah tempoh baterinya. Ketika baki bateri A8+ masih berbaki sekitar separuh, S9+ pula sudah hampir kehabisan bateri. Kecoh betul.
Harga
Merujuk ke laman web rasmi Samsung Malaysia, anda boleh membeli S9+ pada harga bermula RM3,579 untuk varian 64GB. Sudah pasti anda boleh mendapatkannya pada harga lebih murah daripada laman jual beli seperti Lazada, Shopee, DirectD dan sebagainya.
Andai mahu lebih untung, beli sahaja daripada penyedia telekomunikasi yang menawarkan pelbagai pakej menarik.