Buletin

FORD RANCANG BINA TRAK PIKAP UNIBODY BAHARU – GUNA PLATFORM FOCUS

Ford dilapor sedang merancang untuk membina sebuah trak pikap baharu yang menggunakan platform Focus sebagai asasnya.

Jika berjaya direalisasikan, ia akan bersaing secara langsung dengan trak pikap seperti Honda Ridgeline di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Walaupun trak pikap jenis unibody ini tidaklah selasak jentera yang dibangunkan di atas kerangka body-on-frame, namun ia dilihat masih mempunyai ramai peminat. Ini kerana ia menggabungkan ciri sebuah kereta penumpang dengan keupayaan trak pikap.

Sebelum ini, Ford pernah menawarkan trak pikap yang dibina dengan platform Fiesta, Courier. Kenderaan utiliti itu kemudian digantikan dengan Ranger yang kini cukup popular di seluruh dunia.

“Ford kini sedang giat membangunkan sebuah trak pikap kompak yang djangka berada di pasaran AS menjelang tahun 2022. Ia akan diposisikan di bawah Ranger dan lebih besar berbanding Courier di Brazil,” kata sumber.

Platform Focus C2 generasi seterusnya itu dipilih kerana modularitinya. Ford bersungguh untuk menghasilkan trak pikap ini selepas melihat jualan Ridgeline yang cukup memberangsangkan.

Keuntungan jualan trak pikap itu mungkin tidak setinggi Ranger, tetapi Ford memang terkenal sebagai pengeluar yang berani mengambil risiko.

Jika pelan itu menjadi kenyataan, trak pikap tersebut akan dibina bersama model crossover berasaskan kepada platform C2 di kilang Cuautitlan, Mexico.

Google ads
Back to top button