
RENAULT BAKAL JUAL SUV HIBRID GUNA PLATFORM GEELY
Model pertama yang bakal dijual oleh Renault hasil daripada kerjasama dengan Geely bakal muncul di pasaran Korea pada tahun 2024.
Renault Korea Motors (RKM) akan memasang model SUV itu di Korea untuk pasaran tempatan dan dieksport ke pasaran luar negara.
Berbanding model Renault lain, SUV ini bakal menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) daripada Geely yang turut digunakan pada model seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01.
Menurut laporan, SUV segmen D ini akan menampilkan trenkuasa hibrid yang cekap, dan rekaan seakan sebuah SUV coupe berdasarkan gambar acah yang disiarkan.
Renault melabur lebih daripada €900 juta di pasaran Korea Selatan untuk tempoh enam tahun akan datang, dengan sasaran untuk menjadikan negara itu sebagai lokasi pemasangan penting.
Selain Korea, SUV hasil kerjasama Renault-Geely itu akan turut dijual di Tanah Besar China.