Buletin

RENAULT MEGANE R.S 2018 – PENANDA ARAS BARU UNTUK HOT HATCH SEGMEN C 

Renault baru-baru ini mendedahkan model Megane R.S. yang dikatakan lebih berkuasa. Sudah memasuki generasi ketiga, Megane R.S. sememangnya dikenali sebagai jentera yang menawarkan pemanduan dinamik serta memiliki reka bentuk menarik. 

Megane R.S. kini digerakkan oleh enjin turbo baharu dengan sistem pancitan terus bahan api. Enjin empat silinder bersesaran 1.8 liter itu berupaya menjana kuasa sehingga 280hp dan tork puncak 390Nm. 

Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear manual atau klac berkembar EDC enam kelajuan. Ia juga dipasang dengan sistem pacuan 4CONTROL bersama stereng empat roda, pertama seumpamanya dalam segmen tersebut. 

Manakala versi sport dan Cup Megane menawarkan kestabilan yang lebih mengagumkan ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. 

Megane R.S. dilengkapi sistem MULTI-SENSE Renault yang menawarkan lima pilihan mode pemanduan iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso. Ia juga hadir bersama pelbagai ciri bantuan pemandu (ADAS) yang boleh diaktif atau dinyahaktif menerusi tablet R-LINK 2.

Seperti yang dijangka, pembinaan Megane R.S. banyak diinspirasi oleh pemanduan perlumbaan rali. Sebagai contoh, suspensi hidraulik pada keempat-empat rodanya. 

Suspensi itu bukan sahaja menjanjikan pengendalian yang sangat mantap. Malah tidak berkompromi dari segi keselesaan, walaupun untuk versi Sport. 

Dari segi penampilan, Megane R.S. nampak lebih lebar bersama rim bersaiz 18 atau 19 inci. Elemen sporty ditingkatkan lagi melalui peresap udara di bahagian belakang, bilah hadapan gaya F1 serta banyak lagi.

Corong pengambilan udara yang besar memastikan enjin sentiasa berada dalam suhu optimum dan menawarkan downforce tambahan kepada jentera ini. 

Teknologi R.S. Vision untuk lampu utama pula memastikan tahap pandangan yang jelas terutama ketika memandu pada waktu malam. 

Selain warna baru iaitu Tonic Orange, perhatian khusus turut diberikan kepada ruang kabin. Bahagian dalamannya kini dipasang dengan tempat duduk hadapan sports, kemasan hitam/kelabu, jahitan benang merah, upholsteri fabrik atau Alcantara, logo R.S dan sebagainya.  

Harus tahu bahawa Megane R.S. menjadi model produksi pertama didatangkan dengan emblem Renault Sport yang sebelum ini lebih sinonim pada jentera Renault Sport Racing dan Renault Sport Cars. 

Renault Sport dijangka memperkenalkan versi Trophy berkuasa 300hp menjelang akhir tahun 2018. 

GALERI

Google ads
Back to top button