
RENAULT MEGANE RS 265 SPORT FACELIFT
Hujung minggu lalu, pengedar kenderaan jenama Renault di Malaysia,TC Euro Cars memperkenalkan model Renault Megane RS 265 Sport di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.
Model facelift ini menggunakan identiti rekaan Renault yang baru. Logo yang lebih besar itu diletakkan di atas latar berwarna hitam berkilat. Penampilan bahagian hadapan diserlahkan lagi dengan lampu utama yang diletakkan di dalam perumah berwarna hitam, selain F1 blade berwarna merah pada bahagian bawah bampar.
Penampilan garang itu disempurnakan dengan penggunaan rim Tibor bersaiz 18 inci berwarna gelap.
Perbezaan ketara model ini dengan versi Cup ialah Megane RS 265 Sport tidak menggunakan chasis Cup, tempat duduk Sports fabrik R.S berwarna kelabu, setting suspensi lebih lembut yang sesuai untuk pemanduan harian dan tidak dibekalkan dengan LSD.
Bagaimanapun, ia tetap dijana oleh unit enjin 16 injap bersesaran 2.0 liter yang berupaya menghamburkan kuasa mencecah 265hp dan tork maksimum 360Nm. Jadi, anda tidak akan mempunyai masalah kekurangan kuasa.
Melihat dengan lebih teliti di bahagian luar dan dalam, versi Sport didatangkan dengan pakej Red Pack. Selain F1 Blade, moulding sisi dan spoiler belakang turut diwarnakan merah. Di bahagian kabin, warna merah boleh dilihat pada tali pinggang keledar. Di samping jahitan benang merah pada tempat duduk, tombol gear dan brek tangan.
Pemanduan juga pasti lebih menyeronokkan dengan adanya R.S Monitor 1.0 selain pilihan mode seperti Normal, Sport dan ESP Off.
Apa yang lebih menarik, Megane RS 265 Sport ditawarkan pada harga RM199,999 seunit (tidak termasuk insurans). Harga itu sebenarnya hampir RM40,000 lebih murah berbanding model Cup.













