" "
Buletin

RENTAS NEGERI TIDAK LAGI DIBENARKAN. KOMPAUN SERTA-MERTA DI SEKATAN JALAN RAYA

KERAJAAN tidak lagi membenarkan perjalanan rentas negeri dan orang ramai tidak perlu ke balai polis untuk membuat permohonan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah bersetuju tidak membuka peluang lagi untuk perjalanan rentas negeri.

“Mulai hari ini (semalam), kenderaan yang diarahkan berpatah balik ketika cuba rentas negeri akan dikompaun serta-merta di sekatan jalan raya. Kita semua sedia maklum, semalam seorang perempuan positif Covid-19 akibat daripada rentas negeri.

“Oleh itu, sudah tidak ada kompromi dan tidak ada tolak ansur mengenai rentas negeri,” katanya ketika sidang media hariannya di Putrajaya. 

Kelmarin sahaja, sebanyak 2,412 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana cuba rentas negeri untuk pulang ke kampung berhari raya.

Menurut Ismail Sabri, orang ramai masih cuba untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri, walaupun kerajaan sudah menyatakan dengan jelas mengenai larangan tersebut. 

“Kita sudah nasihat, sudah beri peringatan supaya tidak melakukan rentas negeri pada perayaan Aidilfitri ini, tetapi masih ada yang cuba berbuat demikian. Kita terima laporan seramai 1,300 orang berkumpul di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuantan untuk mohon rentas negeri.

“Kita sudah putuskan tiada lagi rentas negeri dan polis tidak akan memberi kebenaran lagi…tak payah lagi beratur panjang-panjang,” katanya. – Harian Metro foto: Bernama

Google ads
Back to top button