Buletin

CENGKAMAN QUATTRO, 40 TAHUN AWD AUDI DAN IKON DUNIA RALI

Pengeluar kenderaan biasanya ada satu teknologi yang sinonim dengan jenama sebagai contoh VTEC untuk Honda, rotary untuk Mazda, boxer untuk Subaru dan pelbagai lagi.

Ia bagaimanapun tidak semestinya berkaitan teknologi enjin sahaja, Audi misalnya terkenal dengan teknologi pacuan Quattro.

Di dalam bahasa Itali, quattro bermaksud empat atau dalam terma Audi pula merujuk kepada pacuan semua roda.

Sebutan quattro berbunyi catchy dan Audi membina reputasi pacuan semua roda di dalam dunia rali puluhan tahun dulu.

Audi mendominasi dunia rali pada awal hingga pertengahan 80an dengan pelbagai model quattro. Kejayaan di dalam rali sebenarnya boleh dijejaki jauh ke belakang pada tahun 1912.

Audi Type C adalah jentera juara Austrian Alpine Rally untuk tempoh tiga tahun berturut-turut di mana pengasas syarikat, August Horch sendiri memainkan peranan penting di sebalik stereng di dalam kejayaan tersebut.

Kembali ke era moden, Audi mula berlumba di dalam rali pada 1978 dan bukan melalui pacuan quattro tetapi model 80 dengan pacuan roda depan.

Ini adalah permulaan kepada ‘serangan penuh’ menggunakan quattro pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim 1981.

Pada tahun 1981, Quattro yang pertama (dikenali sebagai ‘Ur’ quattro di Jerman) digunakan untuk bersaing di bawah kategori Group 4.

Kereta Group B pertama iaitu A1 quattro digunakan pada tahun 1983 dan A2 yang lebih berkuasa menyusul kemudian. Ketiga-tiga versi quattro digunakan dengan jaya di dalam perlumbaan rali oleh pasukan Audi UK.

Memandu untuk Audi pula adalah barisan pemandu handalan dan ikon rali sehingga kini.

Pada tahun 1983 Stig Blomqvist memandu kedua-dua A1 dan A2 dalam memenangi Kejuaraan Rali British dan menjadi juara dunia pada tahun berikutnya bersama Audi.

Stirling Moss

Rali British 1983 turut menyaksikan Harald Demuth menggunakan sedan empat pintu 80 quattro.

Audi Sport quattro S1 (jarak roda pendek) pertama kali digunakan di UK semasa Ulster Rally yang dipandu oleh Walter Röhrl.

Pada tahun 1985, Audi Sport quattro S1 E2 yang merupakan jentera jagoan quattro dalam rali muncul menggantikan S1 di pentas antarabangsa.

Audi UK menggunakan S1 E2 dengan pemandu Michèle Mouton di dalam dua acara pada 1985.

Pasukan bagaimanapun memperolehi kejayaan menggunakan S1 dengan menjuarai rali National Breakdown dan  Welsh bersama pemandu Hannu Mikkola pada 1986.

S1 E2 lima silinder turbo

Selepas kereta Group B diharamkan pada penghujung 1986, Audi UK menggunakan khidmat David Llewellin untuk memandu Coupé quattro Group A pada 1987.

Kereta itu masih mempunyai kelebihan pacuan semua roda tetapi dengan enjin lima silinder tanpa turbo.

Kemenangan terbaik yang diperolehi ialah pada Rali Scottish dan naib juara Circuit of Ireland pada Kejuaraan Rali British tahun 1987.

Audi Sport kemudian memperkenalkan 200 quattro pada Rali Monte Carlo 1987 dengan Walter Röhrl memenangi tempat ketiga. Tiga bulan kemudian, Hannu Mikkola menang Rali Safari dan Walter Röhrl di tempat kedua.

Prototaip enjin tengah quattro Group S

Model sedan eksekutif itu turut digunakan Audi UK pada 1988 dan pada masa yang sama Audi 90 quattro juga bersaing di Eropah.

Pasukan Audi UK kemudian berundur pada penghujung musim 1988 dan muncul kembali pada 1993 menggunakan S2 Coupé quattro Group N di dalam Rali Antarabangsa Pirelli.

Jonny Milner yang merupakan pemenang rali Shell Scholarship memandu kereta dengan spesifikasi jalanan tersebut meraih tempat kelima keseluruhan.

Begitulah warna-warni quattro pada peringkat awal dan walaupun Audi tidak lagi terlibat di dalam WRC, penjenamaan quattro dan teknologi pacuan tersebut terus terpahat sehingga hari ini.

Google ads
Back to top button