Buletin

PROJEK KERETA ELEKTRIK TAK JADI, DYSON RUGI RM2.6 BILION

Bilionair Britain, Sir James Dyson dilapor mengalami kerugian sebanyak £500 juta (RM2.6 bilion) apabila mengambil keputusan untuk menghentikan projek kereta elektriknya. 

Syarikat teknologi Dyson menubuhkan divisyen Dyson Automotive dengan 500 orang kakitangan. Selain komited untuk melabur sebanyak £2.5 bilion (RM13.3 bilion) ke dalam pelbagai teknologi termasuklah projek kereta elektrik. 

Projek yang bermula pada 2014 itu bagaimanapun dibatalkan pada Oktober 2019. Dijadual dilancarkan tahun depan, Dyson menyifatkan kereta elektrik itu tidak menguntungkan. 

Dyson dan keluarganya mengungguli senarai Sunday Times Rich List 2020 dengan memiliki kekayaan sekitar £16.2 bilion (RM86.3 bilion), naik £3.6 bilion (RM19.1 bilion) berbanding tahun 2019. 

Dalam temuramah dengan akhbar tersebut, Dyson mendedahkan sedikit perincian mengenai kenderaan elektriknya yang sudah sampai ke peringkat prototaip. 

SUV elektrik dengan kod nama N526 itu menawarkan jarak sejauh 965km sekali caj.

Menggunakan kotak gear automatik 7-kelajuan, ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.8 saat dengan kelajuan maksimum 201km/j. Jentera itu berupaya menjana kuasa 536hp dan tork 649Nm daripada dua unit motor elektrik. 

Dyson mengakui pihaknya sangat kecewa kerana gagal merealisasikan projek itu.

Bercerita tentang ekonomi projek berkenaan Dyson berkata: “Saya tidak mempunyai barisan kenderaan. Saya perlu untung daripada setiap unit yang dijual atau saya akan membahayakan syarikat secara keseluruhannya.

“Apabila banyak syarikat menghasilkan kereta elektrik mengalami kerugian, saya yakin risiko sangat tinggi.” 

Google ads
Back to top button