Buletin

RINGGIT KUKUH BERBANDING DOLAR AS, BERI KESAN POSITIF INDUSTRI AUTOMOTIF

Nilai ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dijangka memberi manfaat kepada syarikat automotif.

MIDF Research menjangkakan UMW Holdings Bhd dan Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM) akan menjadi penerima manfaat terbesar daripada nilai ringgit yang semakin meningkat berbanding dolar AS.

“Kedua-duanya terdedah kepada import dalam denominasi dolar bagi kit CKD dan unit terbina sepenuhnya (CBU). Oleh itu, dolar yang lemah akan merendahkan kos import,” kata MIDF Research dalam satu laporan semalam.

Menurut firma penyelidikan itu, setiap perubahan 1 peratus dalam dolar AS kepada ringgit dianggarkan memberi kesan kepada pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23) UMW Holdings serta TCM sebanyak 3.7 peratus dan 17 peratus.

Menurut MIDF Research, Bermaz Auto Bhd (BAuto), yang terlibat pertukaran matawang yen, bersedia untuk mengurangkan pendedahan forexnya.

MIDF Research berkata, pelancaran model CKD Mazda CX-30 dan CKD Kia (Carnival, Sorento dan Sportage) tidak lama lagi dijangka mengurangkan pendedahan forex kumpulan pada masa hadapan.

“Buat masa ini, setiap perubahan 1 peratus dalam yen memberi kesan kepada pendapatan FY23 BAuto sebanyak 0.9 peratus.”

Walau bagaimanapun, MIDF Research tetap mengekalkan pendirian “positif” terhadap sektor automotif tempatan.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata persekitaran makro yang bertambah baik, membantu meredakan inflasi dan memacu penggunaan domestik.

Menurut unjuran, jualan kenderaan untuk tahun 2022, ia dijangka melepasi paras 700,000 buat kali pertama di mana angka rasmi akan diumumkan Khamis ini oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jumlah volum industri (TIV) November 2022 mencapai 64,404 unit, menjadikan TIV tahun ini kepada 642,306 unit.

Dalam satu kenyataan bulan lepas, MAA berkata jualan untuk Disember dijangka lebih tinggi berbanding November, dirangsang oleh promosi akhir tahun selain pengeluar tergesa-gesa untuk memenuhi tempahan tertunggak.

Sehingga kini, jumlah jualan kenderaan tertinggi dalam setahun ialah 666,674 unit, yang dicapai pada 2015. – The Star

Google ads
Back to top button