Buletin

KONTROVERSI JEREMY CLARKSON, SIRI THE GRAND TOUR MUNGKIN AKAN DITAMATKAN OLEH AMAZON PRIVE VIDEO

Sejarah berulang kembali.

Amazon Prime Video dilapor akan menghentikan kontrak dengan siri The Grand Tour yang dihoskan oleh bekas pengacara Top Gear Jeremy Clarkson, James May dan Richard Hammond.

Ia adalah susulan komen kontroversi Clarkson terhadap Meghan Markle (isteri Putera Harry) dalam satu kolum akhbar The Sun, bulan lepas.

Dalam satu laporan eksklusif oleh Variety, sumber itu menyebut Amazon Prime Video tidak lagi akan bekerjasama dengan Clarkson selepas penyiaran The Grand Tour dan Clarkson’s Farm yang dijadualkan tamat pada tahun 2024.

Satu sidang media yang dijadualkan pada Isnin (16 Januari) yang lalu untuk mempromosikan Clarkson’s Farm musim kedua telah dibatalkan.

Komen yang diutarakan oleh Clarkson turut mendapat perhatian daripada Putera Harry itu sendiri, dan bekas pengacara Top Gear itu akhirnya membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka di laman Instagram atas kekhilafannya itu.

Clarkson turut mendedahkan beliau telah menghantar surat permohonan maaf kepada Putera Harry dan Meghan Markle menerusi e-mel.

Jeremy Clarkson tidak pernah sunyi daripada kontroversi yang melanda. Pada tahun 2015, BBC menamatkan kontrak beliau dengan Top Gear selepas Clarkson dilapor menumbuk salah seorang daripada produser rancangan tersebut. – Variety

Google ads
Back to top button