
KENAPA HUJUNG SAYAP KAPAL TERBANG TERLIPAT KE ATAS? UNTUK GAYA?
Selain memberikan kesan kepada industri automotif, krisis bahan api pada tahun 1973 turut memberi impak yang besar kepada industri penerbangan awam. Jurutera dikerah untuk mencari jalan yang efektif bagi mengurangkan penggunaan bahan api pesawat penerbangan awam, namun hasilnya tidak besar.
Namun salah seorang jurutera pesawat yang pada ketika itu sedang bercuti mendapati ketika burung helang terbang, helang akan melipat sedikit sayapnya untuk meningkatkan daya angkatan pada burung dengan menggunakan tenaga yang sedikit sahaja.
Pengamatan dan pemerhatian yang seterusnya mendapati, sebaik sahaja helang melipat sedikit sayapnya, ia menghasilkan pusaran angin ataupun vortices yang lebih minima. Semakin minima kesan pusaran angin, semakin kecil seretan udara yang dihasilkan dan mengurangkan penggunaan tenaga oleh helang
Jika teknik yang sama digunakan pada pesawat, secara teori ia berupaya mengurangkan penggunaan bahan api pada pesawat. Jadi anda akan dapati pada kebanyakan pesawat penumpang yang moden, sayapa kapal terbang yang dihasilkan daripada komposit dibina dengan ciri “winglet” iaitu hujung sayap yang terlipat ke atas

Winglet ini berperanan untuk mengurangkan seretan subsonik yang dihasilkan oleh pusaran angin pada hujung sayap. Semakin kurang seretan, semakin efisyen penggunaan bahan api dan pesawat boleh terbang jauh dengan kuantiti bahan api yang sama.
Pusaran angin atau vortex ini sebenarnya terhasil apabila udara bertekanan tinggi dari bahagian bawah sayap bergerak ke atas. Kehadiran dan rekaan winglet ini akan memastikan kesan vorteks atau pusaran angin ini adalah minima.
Selain mengurangkan penggunaan bahan api, winglets juga mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan kos operasi syarikat penerbangan. Sebagai contoj pemasangan winglet pada Boeing 757 dan 767 mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 5% dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 5 %
Generasi winglet kedua yang digunakan pada model 737, 757 dan 767 direka dengan winglet yang lebih besar berupaya menjimatkan bahan api tambahan sebanyak 4-6% berbanding generasi pertama. Model 737 terbaru pula menawarkan penjimatan sehingga 2% daripada generasi ke 2
Jadi jangan hairan sekiranya anda dapati kebanyakan pesawat penumpang moden dihasilkan dengan sayapnya terlipat ke atas pada bahagian hujung.