Artikel Pilihan

CAKERA BREK MERAH MENYALA HANYA UNTUK HIASAN SAHAJA?

Beberapa hari lepas timbul isu mengatakan brek yang menjadi panas dan menghasilkan warna merah ketika membrek adalah disengajakan bagi menghasilkan gambar yang menarik ketika sesi mengambil gambar.

Namun isu ini disangkal oleh salah seorang rakan penulis iaitu Dr. Aid Fawzal yang memberikan penerangan yang mudah untuk difahami oleh semua pembaca. Berikut ialah komentar Dr. Aid berkenaan dengan isu ini.

==================================================================

Betulkah brek merah menyala hanya sebuah seni fotografi? Betulkah sewaktu tu brek kurang cengkam? Jom kita selami dari sudut kejuruteraan.

——

1) Kenapa brek boleh merah menyala?

Apabila dua permukaan kasar bergesel, tenaga kinetik daripada pergerakan permukaan itu berubah menjadi tenaga haba. Paling mudah kita boleh buat dengan menggosokkan kedua tapak tangan. Kan panas tu!!?!?

Itu tapak tangan yang tak berapa kesat dan kasar. Bayangkan bahan campuran habuk logam bersama serbuk karbon bergesel dengan permulaan besi. Mestilah lebih panas bukan??

Ditambah pula membrek tu sebenarnya adalah proses nyah-pecutan (deceleration) kenderaan yang sebelum ini memecut laju. Kita tahu daya (force) adalah hasil jisim (mass, m) darab pecutan (acceleration, a):

F = ma

Nah hal yang sama juga dengan nyah-pecutan. Iaitu ia adalah daya untuk memperlahankan kenderaan, -F.

Lagi laju kita pandu, lagi kuat kita membrek. Maka lagi tinggi dayanya. Begitu juga, lagi berat kenderaan kita, lagi tinggi dayanya.

Bila daya membrek tadi tinggi, geseran juga jadi secara melampau. Ini menyebabkan tenaga haba meningkat lalu mencapai suhu yang cukup tinggi sehinggakan ia memancarkan cahaya (hasil kejadian radiasi termal).

——

2) Adakah ini normal?

Hal ini normal untuk kenderaan perlumbaan. F1, GT Series, LeMans, touring car sampailah kereta² harian kita yang dibawa masuk trek untuk trackday pon boleh breknya merah menyala.

Cuma hal ini tidak normal untuk terjadi pada kereta pemanduan harian kerana pecutan dan nyah-pecutan (membrek) kurang tinggi.

*Kecuali main naik-turun bukit (untuk yang faham² je).

——

3) Betulkah sewaktu tu brek kurang cengkam?

Tidak semestinya.

Ini hanya benar untuk sistem brek spesifikasi kilang.

Tapi untuk kereta² perlumbaan atau semi-perlumbaan (kereta trackday), komponen brek biasanya akan ditukar kepada gred yang mampu untuk tahan suhu yang lebih tinggi.

Sistem brek spesifikasi kilang ni biasanya belum sempat cakera brek nak menyala lagi, alas/pad tu dah haus dulu dah. Belum cerita minyak brek dah mengelegak sebab tak tahan suhu operasi yang tinggi.

*Kita cerita kereta standard tau. Bukan kereta memang lahir² boleh masuk trek macam Type R, atau GR, dll.

——

Kalau kita cerita masalah je tak syok la. Jom ambil tahu apa solusinya…

4) Apakah langkah kejuruteraan untuk mengurangkan kepanasan terlampau (overheating) pada sistem brek?

a) Tambah sistem penyejukan untuk brek.

• Ni yang selalu kita nampak kereta lumba letak saluran angin pada brek mereka. Nak ambil angin depan & halakan ke brek supaya cepat sejuk. Brek tetap akan menyala, tapi cepat sejuk & daya membrek akan kembali berprestasi dengan cepat.

b) Gunakan sensor/pengukur untuk tahu suhu operasi brek.

• Bila kita tahu suhu operasi brek, jurutera pasukan boleh buat pilihan yang tepat tentang minyak brek gred apa patut pakai? Alas/pad brek apa sesuai? Cakera brek agak2 berapa lama boleh tahan.

Rakan² perlu tahu, brek ni upgrade gila² pon tak semestinya datang kebaikan sebab kalau brek tu sesuai sewaktu suhu panas, suhu sejuk dia tak boleh pakai, dia tido! Sebab tu kene cari setup brek yang sesuai.

c) Guna komponen daripada bahan canggih (advanced material).

• Bahan² canggih bukan sahaja mampu tahan suhu yang lebih tinggi, tapi membolehkan brek digunakan pada suhu yang rendah juga.

• Tambahan pula, brek daripada bahan² dengan teknologi canggih dapat kurangkan kehausan (wear).

• Selain itu, teknologi salutan (coating) dan rawatan (treatment) boleh digunakan pada cakera brek untuk meningkatkan rintangan haba dan meninggikan prestasinya.

——

Terakhir,

Dengan ini kita tahu yang brek merah menyala bukanlah sebuah seni fotografi yang sengaja dibuat². Ia bukan tahap layan koner cecah tongkat kasi berapi². Tapi ia adalah kejadian fizik perlumbaan dan bukan hanya sekadar cantik mata memandang.

Dr Aid Fawzal

*Terima kasih Mycil Hafez kerana beri keizinan gambar. Korang kalau ada kereta² mahal, kereta² prestasi tapi tak tau macam mana nak pandu masuk trackday kat Sepang, boleh lah tanya beliau. Ada sesi coaching tu kalau mau.

====================================================================

Kami harap pembaca dapat belajar sesuatu daripada perkongsian yang ditulis dan dikupas oleh Dr. Aid Fawzal ini

Google ads
Back to top button