Artikel Pilihan

10 KERETA HEBAT YANG KEMBALI BERNYAWA SELEPAS KEMALANGAN DAHSYAT

Berbeza dengan pemandu, kereta-kereta hebat ini masih mempunyai peluang kedua untuk hidup walaupun selepas alami kemalangan yang dahsyat. Restorasi untuk kenderaan merupakan kerja seni yang mahal apatah lagi kereta-kereta yang disebutkan di sini bukannya model-model biasa. Kalau model kegunaan harian tu eloklah diganti dengan baru tapi bagaimana jika ia sebuah model super limited edition seperti McLaren F1 contohnya, takkan nak hantar ke kedai besi buruk kan?

McLaren F1 kepunyaan Mr Bean (Rowan Atkinson)

Cukup popular dengan watak bodoh alang Mr. Bean dan Johnny English, Atkinson sebenarnya seorang peminat kereta (tambahan bonus kerana beliau seorang yang berduit). Antara kereta yang paling dihargai beliau ialah sebuah McLaren F1 berwarna merah gelap dengan nombor siri pengeluaran 64 daripada 107 McLaren F1 yang dihasilkan.

Kereta ini digunakan oleh Atkinson setiap hari untuk bersiar-siar, ke kedai runcit dan ke mana sahaja sehingga perbatuannya mencecah hampir 65,000 kilometer. Ini baru betul punya pemandu sejati, bukannya beli letak dalam garaj berhawa dingin buat pameran dan ajak kawan-kawan tengok sambil hirup wain.

Sebab selalu sangat dipandu, kereta ini pernah terlibat dalam kemalangan. Bukan sekali tetapi dua kali termasuk pada 2011 di mana tuntutan insuran kemalangan untuk kereta ini mencecah RM5.5 juta! Ia merupakan tuntutan insuran kemalangan tertinggi di Britain. Kereta tersebut kemudian dihantar ke McLaren Special Operations (MSO) untuk restorasi dan pembaikian secara total. Sebaik siap Atkinson kembali memandu kereta itu sehinggalah beliau menjualnya pada tahun 2015. Cayalah Mr. Bean.

Ferrari 250 GTO Christopher Cox

Ferrari 250 GTO ikonik ini cuma dihasilkan sebanyak 39 buah dan bila dilelong ia memang akan terjual dengan harga yang cukup tinggi. Tapi apa yang berlaku bila ada unit yang mengalami kemalangan? Contohnya model GTO berwarna biru dan kuning kepunyaan pelabur kaya dari AS bernama Christopher Cox ini.

GTO kepunyaan Cox ini mengalami kemalangan dengan sebuah minivan dalam perlumbaan bersejarah Le Mans tahun 2012 yang mengakibatkan tangan isteri beliau patah dan dua lagi cedera dalam kenderaan berasingan.

Nilai kereta ini pun sebenarnya jauh lebih tinggi dari kos pembaikian dan peliknya gambar kereta ini selepas kemalangan memang tidak pernah disiarkan oleh mana-mana media. Casis bernombor 3455GT itu kemudiannya dihantar ke Maranello dan direstorasi kembali oleh Ferrari Classiche kepada keadaan asal. Siapa dan biarkan kereta bernilai tinggi macam ni mati macam tu saja kan? Kini ia kembali kepada rupa asal termasuk bunyi ekzosnya sekali.

BACA: TAK MAMPU BELI PAGANI HUAYRA? TAK MENGAPA, BOLEH SEWA, CUMA RM100K JE SEBULAN

Pagani Zonda Riviera

Asalnya ia adalah sebuah Pagani Zonda F Clubsport tetapi ia kemudian berevolusi menjadi sebuah model istimewa. Selepas mengalami kemalangan serius ia telah dihantar kembali ke kilang Pagani untuk restorasi. Menariknya ia bukan setakat menjalani proses restorasi tetapi telah dinaiktaraf menjadi Zonda Riviera yang lebih cantik dan berkuasa. Bukannya Zonda F sebelum ni buruk sangat tapi ia kini menjadi umphh (tak tahu nak tulis apa). Ia juga bukti yang supercar hebat memang boleh mati dan hidup balik.

Porsche RS61 Stirling Moss

Walaupun dalam usia 80-an tiada apa yang dapat menghalang Sir Stirling Moss daripada berlumba kembali. Pada tahun 2010, pelumba lagenda ini terlibat dalam kemalangan dengan kereta yang baru sahaja beliau beli, sebuah Porsche RS61 keluaran tahun 1961. Beliau membawa kereta tersebut ke Laguna Seca untuk menyertai Monterey Motorsports Reunion dan terlibat dalam kemalangan dalam pusingan pertama. Kereta tersebut mengalami masalah teknikal sebelum berpusing dan dilanggar oleh sebuah Lotus yang hilang kawalan.

Ia telah direstorasi kembali oleh pakar-pakar di Maxted-Page & Prill di England dan kurang setahun selepas itu ia kembali berlumba dalam kategori Le Mans Legend. Kereta lumba terkenal dan pelumba lagenda memang keras kepala kan?

Jaguar E-Type Lightweight Low Drag

Jaguar E-Type memang salah satu kereta tercantik di dunia dan ini turut diakui oleh Enzo Ferrari sendiri. Sebuah daripada versi perlumbaan model ini telah terlibat dalam kemalangan di litar Perancis, Monthelry pada tahun 1964 dan membunuh pemandunya Peter Lindner. Kereta itu kemudiannya hilang dari tempat kejadian.

Pada tahun 1990, 36 tahun selepas kejadian, kereta tersebut telah ditemui di dalam garak seorang lelaki Perancis yang dalam masa 10 tahun telah melakukan restorasi ke atas kereta tersebut. Setelah menghabiskan hampir 7000 jam, kereta tersebut kembali kepada keadaan asal. Bukan itu sahaja, disebabkan kisahnya yang menarik, kereta tersebut kini dianggarkan bernilai hampir RM30 juta!

Jaguar XJ13

Jaguar XJ13 merupakan sebuah model prototaip perlumbaan yang dihasilkan untuk menyertai perlumbaan Le Mans tahun 60-an. Cuma sebuah dihasilkan tapi ia bukannya keutamaan syarikat disimpan sehinggalah tahun 1971. Kereta ini kemudian dikeluarkan untuk pelancaran filem untuk memperkenalkan Jaguar Series 3 E-Type baru. Ia kemudian mengalami kemalangan teruk akibat kerosakan tayar.

Ia kemudian disimpan lagi di stor Jaguar sehinggalah Edward Loades meyakinkan Jaguar yang syarikat beliau mampu merestorasi kembali kereta tersebut. Ia kelihatan seperti mula-mula dihasilkan tetapi pihak Jaguar menyatakan yang ia masih belum menepati spesifikasi asal XJ13.

Ferrari F40 Gas Monkey

Ferrari F40 memang model lejen Ferrari yang paling otai. Ramai yang menitiskan air mata lelaki bila sebuah kereta ini mengalami kemalangan serius di Houston beberapa tahun lepas. Ia kemudian dibeli oleh syarikat restorasi terkenal Gas Monkey Garage diwarnakan dengan cat hitam siap dengan lampu-lampu LED dan rim three-piece HRE. Pengecas turbonya juga ditukar dan menaikkan lagi angka kuasanya kepada 550 bhp. Ia kemudiannya dijual dengan harga RM3.1 juta. Tidak mahal untuk sebuah F40 tetapi sekurang-kurangnya ia diberikan nyawa kedua di dunia yang penuh pancaroba ini.

Pagani Zonda Fantasma Evo

Zonda dengan nombor casis 53 ini dihasilkan pada tahun 2005. Ia terlibat dalam kemalangan dalam tahun 2012 dan dihantar ke kilang Pagani kembali. Di sana ia dinaiktaraf kepada Zonda SH dan kemudiannya Zonda Fantasma. Tahun 2017 sekali lagi ia dinaiktaraf dan kali ini dikenali dengan nama Fantasma Evo. Bukan hanya kuasanya ditambah bahkan in kini mempunyai kotak gear manual.

Ferrari Enzo

Jarang dapat kita saksikan hypercar eksiden sampai terputus dua macam Enzo ni. Kemalangan berlaku pada tahun 2004 di Malibu dan kereta ini seperti tiada harapan lagi. Perkara sebaliknya berlaku bila Ferrari Technical Assistance Services berjaya merestorasinya seperti baru dan diluluskan pula oleh Ferrari Classiche, divisyen yang bertaggungjawab dalam proses restorasi model vintaj Ferrari.

Sinkhole Corvette 1962

Siapa mampu melupakan insiden lubang jerlus yang muncul di bawah National Corvette Museum dan menelan sejumlah besar kereta-kereta klasik ini ke dalam bumi pada tahun 2014. Ada yang rosak teruk, ada yang berkecai tetapi ada juga yang berjaya dibaikpulih seperti asal.

Kereta terakhir yang direstorasi ialah sebuah Corvette keluaran tahun 1962 berwarna hitam yang didermakan kepada muzium oleh David Donoho, seorang peminat sejati Corvette sejak dari kecil. Kini kereta tersebut kembali dipamerkan di muzium sekali lagi sebagai memperingati tragedi lubang jerlus tersebut.

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button