
RM 154,000 – KOS PENUKARAN CERMIN DEPAN MCLAREN F1
McLaren F1 adalah sebuah supercar yang bukan sahaja mahal untuk dibeli malah ia dalah jentera yang memang mahal untuk dijaga. Kereta ini mulai dihasilkan pada tahun 1989 dan pengeluarannya dihentikan pada tahun 1998 terhad kepada 106 unit sahaja, memerlukan penjagaan yang terperinci dan alat ganti untuk model ini mulai berkurang menjadikan semua alat gantinya sangat mahal
Sebagai contoh, anda perlu menyediakan 33,000 USD ataupun RM 154,000 hanya untuk menukar cermin depan jentera ini. Angka ini perlu dikeluarkan oleh 2 pemilik McLaren F1 semasa acara Velocity Invitational di Sonoma Raceway California dimana cermin depan kedua dua jentera ini telah retak bermula daripada bahagian bawah
Untuk rekod, sekiranya keretakan ini bermula daripada sisi iaitu di kawasan yang berwarna hitam, besar kemungkinan isu keretakan ini akan bertambah besar. Ini kerana selain bertindak melindungi penumpang dan memberikan penglihatan yang jelas, cermin depan turut menerima stress daripada cesi terutama di bahagian sisi
Menurut satu sumber yang biasa mengendalikan alat ganti McLaren F1, kos cermin depan adalah 25,000 USD manakala kos upah buruh adalah 8,000 USD menjadikan kos keseluruhan kerosakan ini adalah 33,000 USD (RM 154,000). Bayangkan kos kerosakan 2 buah supercar ini mencecah RM 308,000 hanya disebabkan 2 cermin depan yang retak.
Malah terdapat beberapa unit cermin depan yang baru masih lagi disimpan di ibupejabat McLaren di United Kingdom. Jadi pemilik ini tidak perlu menunggu untuk cermin baru McLaren F1 dihasilkan. Malah McLaren telah merancang untuk menghasilkan cermin depan baru yang lebih tahan lasak dan dihasilkan dalam kuantiti yang banyak menerusi program McLaren Special Operation
Usaha McLaren ini tidak terhenti dengan menghasilkan cermin depan yang baru sahaja, malah syarikat automotif ini juga merancang untuk memanjangkan jangka hayat supercar ini dengan menghasilkan semula alat ganti lain seperti tangki bahan api aluminium dan juga sport rim yang dihasilkan daripada magnesium



