
STELLANTIS TUBUH SYARIKAT JUALAN NASIONAL (NSC) BAHARU DI MALAYSIA
Stellantis N.V. (Stellantis), antara pengeluar kereta dan penyedia mobiliti terkemuka dunia, akan menubuhkan syarikat jualan nasional (NSC) baharu di Malaysia pada suku pertama tahun depan.
NSC baharu menjadi entiti rasmi kumpulan yang akan mengemudi dan menguruskan aspek pengedaran dan jualan kenderaan pengeluar kereta itu di Malaysia.
Sejajar dengan peralihan strategik, Bermaz Auto Alliance (BAA), anak syarikat 55 peratus milik Bermaz Auto Bhd (Bermaz Auto) dan pengedar jenama Peugeot di Malaysia, akan terus bekerjasama dengan Stellantis bagi penjualan kenderaan menerusi rangkaian pengedarnya.

Perubahan dalam strategi perniagaan itu adalah sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, selaras dengan rancangan elektrifikasi selaras serta strategi ‘Global Dare Forward 2030’ Stellantis.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN, Daniel Gonzalez, berkata strategi perniagaan baharu bagi menyediakan pasaran Malaysia lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah pembentukan NSC, termasuk pengenalan jenama baharu di Malaysia pada masa hadapan di bawah portfolio Stellantis.
“Bermaz Auto memainkan peranan penting dalam mewujudkan kehadiran kukuh jenama Peugeot di Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu.
“Ia juga menjadi rakan kongsi penting dan telah membina asas kukuh jenama Peugeot di Malaysia sejak Disember 2020, akan memberi sokongan padu terhadap peralihan kami dalam pembentukan NSC,” katanya.
Menurut Stellantis, BAA akan terus bekerjasama dengan kumpulan itu dalam tempoh peralihan terbabit, dengan kedua-dua syarikat kekal teguh dengan komitmen mereka untuk terus berkhidmat kepada pelanggan Peugeot dengan menawarkan servis tanpa gangguan, alat ganti, waranti dan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Tan Sri Ben Yeoh berkata, syarikat itu menyokong penuh cita-cita global Stellantis, selaras dengan strategi ‘Dare Forward 2030’.
“Dari permulaan perkongsian, kami menerima pakai peranan sebagai penjaga jenama Peugeot di Malaysia, kerana kami bersungguh-sungguh dalam membina jenama ini.
“Justeru, pada 2020, kami dengan senang hati menerima cabaran dan bersama-sama pasukan Stellantis. Kami bekerja dengan gigih untuk mengembangkan lagi jenama ini di Malaysia. Hari ini, kami bangga kerana dapat mengemudinya ke arah di mana Stellantis bersedia untuk melangkah lebih jauh. Kami menyokong penuh cita-cita global Stellantis,” katanya.
Hala tuju dan strategi baharu Stellantis untuk rantau ASEAN termasuk cita-cita elektrifikasi dan menilai potensi kilang di Gurun, Kedah sebagai hab pembuatan serantau untuk menghasilkan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) bagi pasaran domestik dan eksport di ASEAN, selain memacu penggunaan BEV di rantau ini.
Keutamaan serantau berkisar pada komitmennya terhadap kelestarian di bawah strategi ‘Dare Forward 2030’ Stellantis.
Pembuat kereta itu melabur lebih RM2 bilion (400 juta euro) untuk memperkenalkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN.
Platform ‘modular-by-design’ ini membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan berbilang tenaga (BEV, ICE, MHEV) dan mewujudkan pemasangan tempatan dari jenama Stellantis seperti Jeep serta Citroën.
- BACA: STELLANTIS MAHU WUJUDKAN PLATFORM STLA MEDIUM KE RANTAU ASEAN, LABUR RM2 BILION
- BACA: STELLANTIS CIPTA BATERI EV BAHARU LEBIH RINGAN – LABUR KOS RM201 JUTA
- BACA: STELLANTIS JALIN KERJASAMA DENGAN LEADER ENERGY GROUP. TAMBAH BAIK KECEKAPAN TENAGA SOLAR DI KILANG GURUN
- BACA: 14 JENAMA DI BAWAH STELLANTIS BERADA DALAM PRESTASI TERBAIK







