BuletinModifikasi

ROLLS ROYCE PHANTOM DENGAN ENJIN TOYOTA 2JZ – KERJA GILA!

Baca tajuk saja pun dah macam majalah Mastika. Tapi ini bukanlah tajuk semata-mata, ia adalah realiti yang berlaku pada sebuah kereta ultra mewah Rolls Royce Phantom. Ya. anda tidak salah baca, Phantom ini “hanya” dikuasakan oleh enjin enam selinder Toyota, berbanding enjin asalnya V12 – 12 selinder.

Tular sejak beberapa hari lepas imej sebuah Rolls Royce Phantom. Kami juga siarkan foto kereta ini yang dikongsi oleh salah seorang kawan Abang Japar. Mula-mula tengok memang macam susah nak percaya. Tapi bila dikemaskini maklumatnya oleh kawan di Jepun, barulah sedar, kereta ini memang wujud dan ia benar-benar dibina untuk membolehkan Phantom ini terus “bernyawa”.

Bagaimana ia bermula?

Ini adalah kereta yang dibeli baru oleh seorang jejaka tampan di Jepun pada tahun 2008. Ia bukanlah kereta yang dibuat modal MLM, tetapi dipandu setiap hari selama sembilan tahun berikutnya. Sehinggalah pada awal tahun ini, ketika perbatuan mencecah 190,000 kilometer, enjin V12, 6.3 liter Rolls Royce ini menunjukkan tanda-tanda nak meninggal dunia.

Pemiliknya menghantar ke pusat servis RR tempatan dan beliau dimaklumkan ada banyak masalah berkaitrapat dan penyelesaian yang terbaik ialah menukar keseluruhan unit enjin.

OK. tak apa lagi. Masalahnya, unit enjin gantian tersebut memerlukan DUA TAHUN untuk dipesan, dibuat dan dihantar ke Jepun.

RR bukanlah macam Alza kau boleh order je spare part nya. Ia perlu ditempah, disiapkan dan dihantar dari kilangnya di Britain.

TAK PAYAH TUNGGULAH!

Memandangkan, kereta ini memang dipakai setiap hari, pemiliknya mengambil keputusan masuk air iaitu menghantar ke bengkel pakar enjin Toyota J&K Power yang terletak di daerah Chiba. Sejak dari awal lagi, beliau memang sudah merancang untuk memasukkan enjin hybrid signatur J&K Power yang terkenal iaitu 1JZ/2JZ Twin charger.

Ia adalah enjin 2JZ, 3,000cc dari Toyota Supra/Aristo yang dilengkapi dengan dua induksi pendesak, turbocharger dan supercharger.

Sebagai perbandingan, enjin V12 asal RR ini berkuasa 453hp dan 720Nm. Ia direka dan ditala untuk menggerakkan badan hampir 3 tan.

Untuk memastikan enjin 2JZ ini mampu menyamai kuasa V12, ia telah dipadankan dengan kit 3.4 liter, sebuah turbo Trust T78 dan sebuah kit supercharger HKS GT8555.

Beberapa peningkatan juga dibuat terhadap bahagian dalaman seperti omboh jenis forged, sistem penyejukan, ekzos, induksi dan talaan. Enjin ini diseliakan oleh komputer HKS F-CON V Pro dengan 600 kuasa kuda, namun pemiliknya memberitahu ia adalah kuasa pada talaan 1.6 bar.

Enjin ini baru sahaja disiapkan dan proses penalaan masih lagi diuji. Jika semuanya sempurna, ia akan ditala pada tekanan 2.0 bar dan ia mampu mencatat sehingga 900 kuasa kuda tanpa sebarang masalah.

Jika kebanyakan enjin Continental-Jepun (Con-Jap) menampilakn bahagian dalaman kahwin campur (yang kadangkala nampak buruk), RR ini pula mengekalkan hampir keseluruhan wajah asal sebuah Phantom.

Sedikit berbeza ialah kolum gear tangan (column shift) kini dialihkan ke bahagian konsol tengah. Beberapa meter untuk pemantauan diletak di bahagian atas kolum stereng dan hadapan bentangan meter asal.

Sistem suspensi Rolls Royce yang terkenal kerana sangat-sangat-sangat-sangat selesa itu terpaksa dikorbankan kerana sekali lagi, ia ada masalah reliabiliti. Bayangkan dengan keadaan jalan Jepun yang cukup sempurna pun sistem suspensi udara kereta ni boleh jahanam.

Jadi, pemiliknya menukar kepada set suspensi buatan khas dari Ohlins. Suspensi terbaik yang ada di pasaran ini telah disesuaikan untuk membawa Phantom ini selamat dan tidak mengorbankan keselesaannya. Tapi dah tentulah tak boleh lawan suspensi asal kan?

KREDIT FOTO ENGINESWAPDEPOT

 

 

Google ads
Back to top button