
ROMPAK DUIT BAPA SAUDARA RM630K. JOLI BELI MOTOR YAMAHA, KAWASAKI, CIVIC FD DAN BUAT HANTARAN PERTUNANGAN
Seorang lelaki kerugian RM630,000 selepas wang tunai dan barang kemas yang disimpan di dalam peti besi di sebuah kediaman di Petaling Jaya dipecah masuk oleh anak saudaranya bersama empat orang rakan pada 24 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek utama berusia 19 tahun memecah masuk dan melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM430,000 serta barang kemas bernilai RM200,000 yang disorokkan di ruangan rahsia di rumah terbabit.
Suspek kemudian membelanjakan hasil curi itu bersama beberapa orang rakannya. Malah salah seorang daripada mereka menggunakan duit hasil curi terbabit sebagai wang hantaran dan melanggan pelacur.
“Pada 31 Ogos jam 3.30 petang, polis telah membuat serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki tempatan berumur 19 hingga 23 tahun yang sedang berhenti di sebuah stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan dipercayai sedang berkonvoi sempena hari kemerdekaan.
“Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan disyaki dibeli hasil wang curi. Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan di sebuah rumah di Klang.
“Dipandu arah oleh suspek, polis berjaya menemui pelbagai barangan dibeli hasil wang curi di kediaman semua suspek di sekitar Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini pada Selasa.
Fakhrudin berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengetahui kedudukan peti besi yang disorokkan itu dan menyedari kediaman terbabit tidak berpenghuni.
“Lima suspek memecah masuk ke rumah tersebut, manakala suspek lain menerima sebahagian wang terbabit untuk membeli aplikasi permainan dalam talian, membayar bil, membaiki rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai,” katanya.
Serbuan turut berjaya merampas barangan dipercayai dibeli hasil wang curi termasuk dua motosikal jenis Yamaha, telefon bimbit jenis Apple iPhone (tujuh), beg berjenama, jam tangan, pelbagai barang kemas, motosikal Kawasaki RR 150 (dua), sebuah kereta Honda Civic FD 2.0 dan wang tunai RM56,950.
“Polis berjaya mengesan tunang kepada salah suspek terbabit dan menemui seutas rantai emas dan wang tunai yang dijadikan hantaran,” ujar beliau.
Semakan mendapati semua suspek berusia lingkungan 19 hingga 23 tahun itu tidak mempunyai rekod lampau. Mereka kemudian direman tujuh hari bermula Khamis lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian
