Motosikal

RUPA JELAS BRIXTON STORR 500 DIDEDAHKAN – ENJIN 486CC, 47HP

Bagi yang mengikuti perkembangan pameran motosikal EICMA pada November 2022 di Milan, Brixton antara yang mencuri tumpuan apabila mendedahkan motosikal konsep dengan gaya ‘adventure’. 

Motosikal tersebut – yang diberi nama Storr – dikuasakan enjin 500cc parallel-twin dan tampil dengan reka bentuk retro-moden mirip Husqvarna Norden 901. 

Dalam perkembangan terbaru, Brixton sah bakal memperkenalkan  model itu tidak lama lagi berdasarkan dokumen kelulusan jenis baru yang difailkan di China. 

Ketika ini, Malaysia antara negara yang memasarkan model Brixton antaranya Brixton Cromwell 1200 dan beberapa model BX150. 

Untuk rekod, Brixton merupakan jenama hasil kolaborasi Eropah dan China. Ini kerana jenama Brixton itu sendiri berpangkalan di Austria kerana merupakan sebahagian daripada KSR Group. Bagaimanapun, kesemua motosikal Brixton dihasilkan sepenuhnya di China oleh Gaokin. 

Walaupun membawa nama Brixton (dinamakan sempena sebuah daerah di London) namun Brixton Motorcycles tidak dipasarkan di England. Pada masa sama, nama Storr itu sendiri diambil dari The Old Man of Storr yang merupakan formasi batu terkenal terletak di Scotland. 

Berdasarkan dokumen tersebut, Storr akan dikuasakan enjin parallel-twin 486cc yang dibangunkan Gaokin dan menawarkan 47hp. Atas kertas, enjin tersebut mirip dengan platform yang diguna pakai Honda pada CB500 – kini dikenali sebagai NX500. 

Sementara itu, pakej suspensi pula merangkumi kelengkapan dari KYB serta brek radial 4-pot tunggal dari J.Juan yang dipadankan dengan sistem ABS dari Bosch. 

Walaupun gambar disertakan itu ketiadaan penghadang angin depan namun jelas terdapat braket bagi memuatkan cermin depan tersebut. Sementara itu, turut kelihatan panel meter TFT jenis menegak yang sama terdapat pada Yamaha Tenere 700 dan Ducati DesertX. 

Kami jangkakan Brixton akan memperkenalkan Storr 500 pada penghujung tahun ini. 

Google ads
Back to top button