MOTOSIKAL MODEN KLASIK BRIXTON – 3 VARIAN, BERMULA RM8,988 SEUNIT
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike Holdings) semalam memperkenalkan motosikal baharu ke pasaran tempatan.
Dikenali sebagai Brixton, ia hadir dalam tiga mode: BX150, BX150X & BX150R. BX150 boleh anda miliki pada harga RM8,988 seunit.
BX150X berharga RM9,288 dan BX150R dijual pada harga RM9,588 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
BX150 ialah motosikal klasik dengan reka bentuk tradisional. Dilengkapi aksesori moden, ia didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu hijau dan kelabu.
BX150X pula menampilkan reka bentuk scrambler untuk mengharung laluan off-road. Ia tampil menawan dengan dua warna hijau dan hitam matte. Sementara BX150R diberi gayaan sebuah sebagai café racer yang boleh didapati dalam warna merah dan perak.
Sebenarnya, Brixton Motorcycle adalah jenama motosikal roadster retro dari Austria. Namun untuk pasaran Malaysia, kebanyakan alat gantinya adalah dari China dan Vietnam, sebelum dipasang oleh pihak Mforce Bike Holdings.
Brixton Motorcycles dijangka berada di semua ruang pameran pengedar sahnya bulan ini. Mempunyai lebih daripada 500 pengedar di seluruh dunia, kini Mforce Bike Holdings menjadi pengedar terbaharunya.
Apabila diperkenalkan buat pertama kalinya di Pameran Motor Vietnam 2017, Brixton mencatat jualan sebanyak 500 unit.
Berikutan kejayaan di Eropah dan Vietnam, KSR Group yang memiliki Brixton kini sedang membincangkan kontrak-kontrak denga 50 negara yang berminat untuk mengimport motosikal Brixton.
Dari segi pengeluaran pula, Brixton telah pun melabur bagi membina kilang baru untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat di seluruh dunia.
Semua model Brixton dilengkapi enjin 4 lejang 1 piston berkapasiti 149cc dengan sistem EFI. Enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 8.7kW pada 8,000rpm dan tork maksimum 11.9Nm pada 6,000rpm. Dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan, ia memenuhi piawaian emisi Euro3.
Brixton menggunakan brek cekera tunggal pada roda hadapan dan belakang, bersama sistem Combined Braking System (CBS). Manakala tangki minyak berkapasiti 14 liter.
Motosikal retro itu mempunyai berat kasar 157kg. Menyentuh tentang sistem suspensi, roda hadapan menggunakan fork teleskopik standard dan jenis lengan ayun di belakang.
Brixton boleh didapati di semua pengedar sah Malaysia sekarang.
GALERI